MOA tingkat usaha cari tanah untuk tanam nanas seluruh negara

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kiri) bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid (kanan) memetik nanas ketika lawatan ke Bahagian Pembangunan Teknologi Nanas, Alor Bukit hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kiri) bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid (kanan) memetik nanas ketika lawatan ke Bahagian Pembangunan Teknologi Nanas, Alor Bukit hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) akan meningkatkan usaha mencari tanah bersesuaian untuk penanaman nanas di seluruh negara, bagi memastikan kapasiti pengeluaran nanas sedia ada memenuhi permintaan global.

Timbalan Menterinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, langkah berkenaan perlu dilakukan kerana industri nanas negara berkembang dengan memberangsangkan, yang mana pada tahun lepas sahaja, Malaysia mengeksport sebanyak RM419 juta produk berasaskan nanas.

“Angka itu merupakan peningkatan lebih 60 peratus daripada nilai eksport sebanyak RM343 juta, yang direkodkan pada 2018.

“Jadi melihat potensi ini, kita (MOA) mahu menumpukan usaha untuk mencari tanah, supaya dapat memenuhi permintaan global,” katanya kepada pemberita ketika melawat Bahagian Pembangunan Teknologi Nanas, Stesen Nanas Alor Bukit di Pekan Nanas, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Dasar MOA, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Ruhaida Mashhor.

Mengulas lanjut Che Abdullah berkata, Malaysia kini mengeksport nanas dan produk berasaskan nanas kepada lebih 20 negara termasuk Singapura, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Jepun, serta Arab Saudi.

Namun, permintaan tertinggi terutama bagi buah nanas segar, adalah dari negara China yang mengkehendaki sebanyak 100 kontena atau 2,200 metrik tan sebulan.

Katanya, Malaysia bagaimanapun, setakat ini hanya mampu menghantar sebanyak 10 kontena sahaja, daripada keseluruhan jumlah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Che Abdullah menambah buat masa ini, Johor juga merupakan pengeluar nanas terbesar negara diikuti Sarawak, Pahang, Sabah dan Kedah. - Bernama