Setuju bubar Jabatan Polis Minneapolis

Kumpulan protes masih mengerumuni Rumah Putih semalam dan melaungkan slogan mengecam kekejaman polis menyebabkan kematian Floyd pada 25 Mei lalu. - Foto AFP
Kumpulan protes masih mengerumuni Rumah Putih semalam dan melaungkan slogan mengecam kekejaman polis menyebabkan kematian Floyd pada 25 Mei lalu. - Foto AFP
A
A
A

MINNEAPOLIS - Anggota majlis perbandaran Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) lewat semalam berjanji untuk membubarkan dan menubuhkan semula jabatan polis. Keputusan itu dibuat selepas insiden kekejaman anggota polis hingga menyebabkan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd pada 25 Mei lalu mencetuskan protes antirasisme di seluruh negara.

"Kami komited untuk melaksanakan langkah itu dan membangunkan semula model baharu keselamatan awam yang akan memastikan keselamatan komuniti," kata Presidennya, Lisa Bender selepas majoriti ahli bersetuju dengan keputusan itu.

Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey bagaimanapun menolak langkah tersebut yang dibuat sehari selepas beliau 'diboo' dan diusir daripada perhimpunan yang menggesa pemotongan dana polis.

Menurut Frey, beliau tidak bersetuju tindakan pembubaran itu dan hanya menyokong langkah penstrukturan semula untuk menyemak semula sistem perkauman secara struktural.

Kelmarin, demonstrasi antirasisme yang masuk hari ke-13 masih diadakan di kebanyakan bandar utama termasuk Washington, New York dan Florida.

Kebanyakan penunjuk perasaan yang pada mulanya berang dengan kematian Floyd kini menukar fokus mereka kepada pembaharuan jabatan polis dan keadilan sosial.

Senator Republikan dari Utah, Mitt Romney turut menyertai protes bersama kumpulan kristian evangelical yang berarak ke Rumah Putih dan berkongsi gambarnya di Twitter bersama kapsyen 'Black Lives Matter'.

Walaupun Romney jarang menyuarakan bantahan terhadap Presiden Donald Trump, beliau dilaporkan bersama-sama Senator Lisa Murkowski pada minggu lalu menyatakan tindakan mengkritik bilionair hartanah itu sudah terlambat.

Artikel Berkaitan:

The New York Times melaporkan Romney menyatakan tidak akan menyokong calon Parti Republikan dalam Pilihan Raya Presiden AS pada November depan yang menyaksikan Trump bakal bertanding semula bagi mengekalkan jawatannya di Rumah Putih untuk penggal kedua.

Sementara itu, bekas Ketua Turus Bersama, Collin Powell juga senada dengan Romney dan memaklumkan akan menyokong calon Parti Demokrat, Joe Biden selepas beliau mendakwa Trump kini sudah tersasar daripada Perlembagaan dan tindakannya telah melemahkan kedudukan Amerika di seluruh dunia. - AFP