PRK DUN Chini: Beri laluan kepada BN menang percuma

Gambar kecil: Mohd Sharkar
Gambar kecil: Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Pemimpin UMNO menyarankan parti politik mencontohi Pakatan Harapan (PH) khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini 4 Julai ini, sekali gus memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyifatkan tindakan PH diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai langkah terpuji memberitahu, keadaan itu penting bagi memastikan keselamatan semua pihak berikutan negara masih belum bebas sepenuhnya wabak koronavirus (Covid-19).

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan PRK Chini, namun katanya, ia menjadi persoalan sama ada dijamin selamat dalam melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak termasuk pengundi di samping berpendapat keadaan ketika ini tidak sesuai untuk berpolitik.

“Jadi, langkah yang wajar dan tepat adalah tiada pertandingan pada PRK ini dengan memberi kemenangan percuma kepada BN/UMNO sebagai penyandang kerusi itu,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya semalam.

Beliau berkata, peruntukkan untuk PRK juga lebih baik digunakan untuk kebajikan rakyat khususnya yang terkesan teruk susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

“Cuma diharapkan, jangan pula ada calon bebas yang memutuskan untuk bertanding dan disokong pula oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang dan Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri berkata, keutamaan ketika ini ialah keselamatan negara dan rakyat untuk bersama-sama membantu memutuskan rantaian Covid-19.

“Tunggulah apabila tiba masanya nanti (PRU15), berlawanlah dan biar rakyat yang menentukan siapa pilihan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan: