'Tak sampai 10 minit, dia ditarik ombak'

Mangsa ditemui kira kira 200 meter dari tempat mangsa mandi pada jam 2.25 petang dan disahkan meninggal dunia. (Gambar kecil: Mohd Yusof)
Mangsa ditemui kira kira 200 meter dari tempat mangsa mandi pada jam 2.25 petang dan disahkan meninggal dunia. (Gambar kecil: Mohd Yusof)
A
A
A

MARANG - Seorang pemuda berusia 21 tahun yang baru melaporkan diri bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan mati lemas ketika mandi di Pantai Jambu Bongkok, di sini, tengahari tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 12.00 tengahari itu, mangsa, Mohd Yusof Abdullah, 21, disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui bomba.

Mangsa yang menghuni Chalet Ombak Biru berdekatan lokasi kejadian itu dikatakan mandi di pantai berkenaan bersama beberapa lagi rakannya sebelum ditarik ombak ke tengah laut.

Salah seorang dari rakannya, Mohd Aiman Fadli, 16, berkata, arwah menunjukkan sikap berbeza sebelum kejadian itu berlaku dan mereka tidak menyangka ia adalah petanda ajal.

Menurutnya, Mohd Yusof seolah-olah tidak sabar mahu mandi laut dan sebaik sahaja turun dia terus mengajak kami mandi di tempat yang lebih dalam kerana baginya ia lebih mencabar.

"Saya menyesal kerana mengikut permintaannya kerana tidak sampai 10 minit selepas itu dia ditarik ombak ke tengah laut sebelum hilang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi, petang ini.

Dia dan rakan-rakan lain kemudiannya berkejar ke chalet untuk memaklumkan perkara itu kepada penghuni lain sebelum ada yang menghubungi pasukan penyelamat dan pihak polis.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang, Pegawai Bomba, Mohd Yusni Faizal Omar, berkata, pihaknya yang menerima panggilan bergegas ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa kemudiannya ditemui kira kira 200 meter dari lokasi mangsa mandi pada jam 2.25 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.

"Jenazah mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa itu beralamat dari Jaya Setia, Kampung Padang di Kota Bharu, Kelantan.

"Jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut," katanya.