Pemuda UMNO seru semua parti buat gencatan politik

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menyarankan semua ahli politik kerajaan dan pembangkang dapat segera melakukan gencatan politik buat sementara waktu bagi merealisasikan agenda pemulihan ekonomi rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha membela nasib rakyat perlu menjadi keutamaan berbanding berpolitik pada masa ini.

"Sememangnya tempoh tiga hingga enam bulan akan datang adalah saat paling getir buat rakyat untuk kembali menyesuaikan diri dalam kehidupan yang kian mencabar lantaran kegawatan ekonomi semasa pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

“Penggemblengan usaha ke arah membela nasib rakyat yang kian resah dan susah harus menjadi keutamaan ketika ini berbanding perkiraan untung rugi politik jangka pendek.

"Perebutan kuasa berterusan juga hanya akan memudaratkan rakyat dan negara jangka panjang,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Terdahulu, Pemuda UMNO menyambut baik pengumuman 40 inisiatif dan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang bersifat menyeluruh dan mencakupi semua pihak termasuklah golongan pekerja, perusahaan kecil dan sederhana, belia dan rakyat biasa di pelbagai peringkat.

Menurut Asyraf, walaupun terpaksa menghadapi serangan, tohmahan, dan kegilaan politik sesetengah pemimpin serta parti politik yang cuba mengganggu gugat kestabilan pentadbiran, namun pelan Penjana membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan mengembalikan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya, Pemuda UMNO akan menggerakkan seluruh jentera di 191 Bahagian bagi memantau pelaksanaan Penjana dan memberikan maklum balas dari masa ke masa kepada pihak kerajaan bagi memastikan segala objektif pemulihan ekonomi negara mampu direalisasikan.

Artikel Berkaitan: