Bomba selamatkan penyu di Pantai Mersing

Penyu yang berjaya diselamatkan sebelum dilepaskan semula ke laut.
Penyu yang berjaya diselamatkan sebelum dilepaskan semula ke laut.
A
A
A

MERSING - Seekor penyu yang terperangkap dalam jaring tali pukat di Taman Rekreasi Pantai Mersing di sini, berjaya diselamatkan anggota bomba, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 9.14 pagi sebelum bergegas ke lokasi bersama enam anggota dan sebuah jentera.

Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira tiga minit untuk memotong jaring pukat dan tali yang tersangkut pada badan haiwan tersebut.

“Keadaan penyu tersebut disedari pengunjung pantai yang ternampak sesuatu bergerak di tepi pantai. Setelah menyedari ia adalah penyu yang terperangkap dalam jaring, pengunjung terus menghubungi Jabatan Taman Laut.

“Ekoran Sabtu adalah hari cuti, maka pengunjung berkenaan kemudian mendapatkan bomba bagi membantu penyu tersebut. Pihak bomba menggunakan gunting dalam operasi itu dan penyu itu berjaya diselamatkan tanpa ada apa-apa kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Anuar berkata, operasi diakhiri dengan melepaskan penyu itu ke laut agar dapat kembali ke habitatnya.

Katanya, pihak bomba sedia menerima kes seperti itu dan bukan setakat haiwan melibatkan kucing dan anjing.

“Kes penyu ini adalah kes pertama yang pernah bomba Mersing terima. Selagi kita menerima panggilan kes, pihak bomba akan terus memberi respon segera,” katanya.

Artikel Berkaitan: