Tiada transaksi zakat di masjid, surau di pagi Aidilfitri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada transaksi pembayaran zakat fitrah di semua masjid dan surau di negeri Selangor pada pagi Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu dibuat bagi memastikan tiada orang awam berada di sekitar dan ruang solat masjid serta surau ketika solat sunat Aidilfitri dilaksanakan oleh imam, bilal dan siak yang dibenarkan.

Menurutnya, ketetapan itu juga dibuat sebagai langkah dan usaha mengawal sebarang kejadian yang boleh menyebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Ia berdasarkan wujudnya trend masyarakat Islam sebelum ini yang bersesak-sesak menunaikan zakat fitrah pada saat akhir di pagi hari raya sebelum solat sunat Aidilfitri.

“Sehubungan itu, umat Islam yang wajib menunaikan zakat fitrah pada malam hari raya Aidilfitri hendaklah menunaikan kewajipan masing-masing dengan kadar segera bagi mengelakkan diri masing-masing terlepas daripada menunaikan zakat fitrah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, bayaran zakat fitrah boleh dibuat sama ada menggunakan kaedah dalam talian atau melalui amil yang dilantik di lokasi dan waktu ditetapkan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurutnya, sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara itu boleh dibuat dengan menghubungi pejabat LZS.

Artikel Berkaitan: