PKR Negeri Sembilan tekad rampas DUN Rantau PRU15

Mokhtar (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Maran di Pejabat Penyelaras DUN Rantau semalam.
Mokhtar (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Maran di Pejabat Penyelaras DUN Rantau semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri ini komited mengaktifkan semula 14 ranting di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam usaha merampas semula DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pemangku Penyelaras DUN Rantau, Moktar Ahmad berkata, pihaknya telah menyusun beberapa strategi untuk menggerakkan semua ranting PKR melalui kerjasama Majlis Pimpinan Komuniti Kemasyarakatan (MPKK) DUN Rantau.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar itu berkata, matlamat utama untuk menjaga kebajikan lebih kurang 20,000 pengundi di Rantau ini akan diberi keutamaan.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, kerajaan negeri telah menyalurkan banyak bantuan terutamanya keperluan harian pada fasa pertama dan menyediakan kupon pembelian barangan bernilai RM100 kepada keluarga yang layak.

"Lebih 1,300 isi rumah yang layak telah dibantu, tiada yang ketinggalan, semua yang terjejas akibat PKP dibantu dengan bantuan barangan keperluan harian yang sehingga hari ini terus disalurkan.

"Terima kasih juga kepada semua NGO yang membantu menyalurkan sumbangan dan diharap sumbangan yang diterima ini dapat membantu meringankan penduduk di kawasan Rantau," katanya selepas menyampaikan sumbangan keperluan dapur kepada Kelab Media Negeri Sembilan (Manis) di Pejabat Penyelaras DUN Rantau semalam.

Moktar berkata, pihaknya juga telah melancarkan laman web DUN Rantau yang akan mengisi pelbagai maklumat dan aktiviti yang dijalankan di DUN Rantau selain dihubungkan dengan Pusat Informasi Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan.

Dalam program tersebut, sebanyak 30 set barangan dapur seperti beras, minyak masak, telur, gula dan tepung serta topeng muka diberikan kepada ahli Manis sebagai tanda penghargaan kepada petugas media.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan itu diserahkan kepada Timbalan Pengerusi Manis II, T Maran dan ahli jawatankuasa, Amsyar Arfi.