Nor Hainei dinobat Tokoh Guru Kebangsaan

Nor Hainei (tengah) dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi) Aminudin Adam (kanan sekali) masing-masing dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2020.
Nor Hainei (tengah) dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi) Aminudin Adam (kanan sekali) masing-masing dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2020.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor, Nor Hainei Abu Bakar dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi) Aminudin Adam masing-masing dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2020.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara itu melalui Perutusan Khas Sempena Hari Guru yang disiarkan secara langsung pagi ini.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Nor Hainei Abu Bakar mantan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor yang telah dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan.

'Saya juga mengucapkan tahniah kepada Tuan Haji Aminudin Adam, mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi) yang telah dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.

"Anugerah ini merupakan penghargaan tertinggi negara kepada guru yang telah mencurahkan khidmat bakti dan jasa yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa," kata Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berharap anugerah itu akan menjadi pembakar semangat kepada semua warga pendidik untuk terus bekerja keras dan memberikan sumbangan terbaik dalam melonjakkan lagi kualiti pendidikan di negara kita.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada guru memperoleh pencapaian cemerlang dalam pendidikan, guru inovatif dan yang berjaya meningkatkan pencapaian murid di luar bandar tahun ini.

Antaranya, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jejarom, Abd Rahman Ali kerana berjaya mencapai kedudukan kelima teratas Cikgu Juara Digital Mydigitalmaker Kebangsaan 2020.

Artikel Berkaitan:

Abd Rahman ialah Ikon Guru Teknologi Pendidikan Kebangsaan 2017, Ikon STEM Kebangsaan 2018, MIE Expert Malaysia, Global Minecraft Mentor dan peserta Global Education Exchange Microsoft Sydney Australia 2020.

Beliau juga berbangga dengan kesungguhan beberapa lagi guru yang komited dalam kerjaya termasuk guru Kimia dari SMK Seri Bintang Utara, Lee Saw Im, yang menerima Global Teacher Award 2019 dan pernah dinobatkan sebagai pemenang Best Science Teacher in South East Asia serta Norhailmi Abdul Mutalib dari SMK Jerlun, Ayer Hitam, Kedah yang menjadi finalis untuk Global Teacher Prize 2020.

Beliau turut menyebut beberapa lagi nama guru cemerlang iaitu Samuel Isaiah dari SK Runcang, Muadzam Shah, Pahang, kerana turut disenarai pendek untuk Global Teacher Prize 2020 berjaya meningkatkan pencapaian murid di sekolah beliau yang terletak di luar bandar.

"Hasil penat lelah guru berjaya melahirkan pelajar cemerlang seperti Izzah Amzan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil yang juga Gimnas Kebangsaan dan memenangi 2 pingat Emas, 1 Perak di Temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

"Saya juga berbangga dengan pencapaian Pasukan Vincera dari SMK King George Kelima, Negeri Sembilan yang menjadi Naib Juara, Land Rover 4x4 in Schools Technology Challenge, World Finals 2019, di UK.

"Saya juga gembira mengetahui kejayaan adik Nathanael Lim Yee Ning, Ling Guan Yee dan Ling Yan Ru dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kai Ming dan Sekolah Kebangsaan St. Anthony, Bintulu.

"Mereka memenangi pingat emas pada pertandingan inovasi Pameran Teknologi, Inovasi dan Reka Cipta, Harta Intelek Antarabangsa 2020. Tahniah saya ucapkan kepada anda semua," katanya.

Perdana Menteri percaya ramai lagi anak Malaysia yang mencapai kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang yang tidak dapat beliau sebutkan kesemuanya.

"Mereka adalah harapan kita semua. Saya doakan mereka diberikan kejayaan cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi," katanya.