Kemuka bukti enam ADUN PH akan keluar parti

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mahu sebuah portal berita membuktikan dakwaan mereka bahawa terdapat enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH) akan keluar parti.

Pengerusi PH Negeri Sembilan itu turut menegaskan beliau tidak mahu memberikan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

"Boleh tanya portal tersebut, mana sumber dia. Siapa ADUN yang lompat? Kalau dia boleh bagi saya akan jawab perkara tersebut. Jika tiada, tidak tulis, buat apa saya nak jawab.

"Sesiapapun boleh tulis mengatakan ada ADUN nak lompat. Siapa ADUNnya? Buktikan?" katanya selepas diminta mengulas mengenai isu tersebut selepas selesai Walkabout di Tapak Penjaja MBS di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihak berkenaan sepatutnya mengurangkan fitnah ketika Ramadan selain menumpukan ibadat pada 10 Ramadan terakhir ini.

"Saya nak ingatkan kepada rakyat Negeri Sembilan jangan termakan fitnah ini.

"Apabila ini berlaku tanpa maklumat tepat ia merupakan satu fitnah. Ini bukan sahaja fitnah pada ADUN tersebut malah kepada anak-anak dan keluarga mereka. Biar kita bersifat jujur dalam bulan mulia ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, lebih baik portal berkenaan menemuramah ADUN itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Jumpa ADUN itu dan interviu mereka sendiri. Kalau betul dan itu terpulang kepada mereka.

"Kita tidak mahu fitnah itu berleluasa di negeri ini dan saya yakin pembangkang juga tidak begitu ghairah tetapi kalau dimainkan itu merupakan satu fitnah yang akan merosakkan kita semua," katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa sekurang-kurangnya enam ADUN dari PH akan menyertai Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan.