Aminuddin yakin dengan wakil rakyat PH

Aminuddin (kanan) pada sidang media di kediaman rasminya hari ini.
Aminuddin (kanan) pada sidang media di kediaman rasminya hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yakin semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di negeri ini akan terus mempertahankan kerajaan negeri di bawah PH.

Beliau juga yakin tiada yang akan mengkhianati PH dan mandat yang diberi oleh rakyat sehingga memberi kemenangan kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya serah pada ALLAH SWT sebab saya yakin dengan semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) PH yang akan pertahan kerajaan negeri yang dipilih rakyat. Itu saya yakin.

"Ini kerana ketika bertanding mereka guna tiket PH untuk mendapat undi dan berjaya atas nama PH. Saya yakin mereka tidak khianati PH khusus pengundi yang memberi undi kepada mereka," katanya sebagai respons perubahan kerajaan Kedah pada sidang media di kediaman rasminya di sini hari ini.

Berkenaan tindakan saman RM10 juta yang akan dikenakan terhadap wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lompat parti, Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri berkata, berapa nilai saman yang perlu dibayar bukanlah perkara penting.

Menurutnya, berkemungkinan jumlah saman tersebut mampu dibayar oleh mereka namun itu bukanlah erti perjuangan sebenar.

Aminuddin (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Bumi Alam.
Aminuddin (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Bumi Alam.

"Mereka bertanding atas tiket PKR, walaupun RM10 juta atau RM20 juta mereka mampu bayar. Tapi itu bukan nilai perjuangan.

Artikel Berkaitan:

"Nilainya adalah bila mereka pegang panji keadilan ketika bertanding dan harus akur dengan parti," katanya.

Aminuddin berkata, jika selepas tempoh lima tahun mereka ingin beralih pada parti lain, itu terserah kepada masing-masing.

Namun tegas beliau, dalam tempoh lima tahun ini mereka seharusnya menghormati mandat diberi oleh rakyat yang memilih PH untuk pastikan perubahan pada negeri dan negara pada PRU14.

"Bila mereka sudah dipilih oleh rakyat dan tiba-tiba hari ini hak rakyat yang pilih mereka pula dinafikan.

"Bagi saya ini satu pengkhianatan amat besar dan tidak harus berlaku dan dibiarkan. Jadi saya minta pengundi nilailah sendiri," katanya.

Terdahulu beliau menerima sumbangan barangan keperluan daripada Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Bumi Alam untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.