Terpaksa pakai baju raya tak laku

Wird bersama suami dan tiga anaknya.
Wird bersama suami dan tiga anaknya.
A
A
A

BERGELAR usahawan berjaya bukanlah semudah yang disangka. Bahkan pengalaman kegagalan mereka ini adakalanya lebih perit dan pedih daripada kebanyakan orang.

Begitulah yang dialami Pengarah PRG Legacy Sdn Bhd yang dulunya dikenali Phytorich Global dan pengeluar jus kurus putih pertama di Asia, SW Dual Effect Slimmewhite, Nur Farahayu Ikhsan, 31.

Ibu kepada tiga anak yang yang mesra disapa Wird ini berasal dari Temerloh dan mempunyai kenangan Ramadan yang tak dapat dilupakan sampai bila-bila.

"Wird ada kenangan sedih bulan Ramadan. Masa tu Wird niaga baju raya di Danau Kota. Wird baru sahaja berhenti kerja kerana terlalu ghairah nak berniaga. Wird habiskan duit simpanan untuk beli barang niaga.

"Minggu pertama perniagaan okey. Ada juga orang beli tapi semakin hari baju-baju langsung tak laku sampailah malam raya. Wird masih lagi usaha mana tahu ada rezeki mungkin habis jualan.

"Malangnya menjelang subuh masih tak laku. Sambil menangis Wird kemas baju-baju jualan ke dalam kereta Viva. Orang lain kemas sambil menyanyi tapi Wird kemas sambil menangis mengenang nasib baju-baju jualan tak habis," katanya mengimbau cerita.

Beliau berkata, kisah enam tahun lalu itu tidak mungkin luput daripada ingatan beliau dan suaminya, Mohd Faizal Aminuddin, 33, yang juga rakan kongsi perniagaannya.

"Raya tahun itu kami terpaksa pakai baju jualan sendiri yang tidak habis kerana modal RM6,000 yang digunakan untuk berniaga 'hangus' tanpa keuntungan malah menanggung kos sewa tapak lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Ramadan tahun 2014 amat memberi pengajaran terhadapnya di mana beliau menasihati golongan muda agar tidak terburu-buru dalam perniagaan.

"Kita kena sentiasa mencari guru untuk membuat sesuatu dan pengalaman hidup adalah guru yang paling berharga. Setelah kejatuhan itu Wird dan suami menjalankan perniagaan bersama dan alhamdulillah mendapat sambutan yang baik," katanya.

Beliau dan suami kini antara usahawan muda yang berjaya mencipta nama ke peringkat global serta mendapat anugerah Super Health Brand Asia Pasific 2017 dan mempunyai 27 billboard seluruh Malaysia.

Wird berkata, beliau optimis mencapai sasaran menjadi usahawan kelas dunia yang berupaya mengharungi segala cabaran ekonomi global pada masa depan.

Beliau bukan sahaja berusaha melahirkan produk berkualiti untuk kecantikan pelanggan, bahkan menginovasi produk sedia ada, dalam usaha merpersadakan produk bumiputera untuk bersaing dan mencipta nama di peringkat global.

Pasangan itu mampu bergelar jutawan di usia muda kerana tekad untuk bangkit daripada kegagalan dengan bertindak keluar dari zon selesa.