Buka sekolah: NUTP sokong keputusan KPM

Gambar kecil: Aminuddin
Gambar kecil: Aminuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyokong penuh apa sahaja tarikh yang diputuskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk semua sekolah dibuka semula.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, ini kerana keputusan itu pastinya disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara selepas mengambil kira pelbagai perkara khususnya melibatkan keselamatan pelajar.

"Kita memang menyokong penuh bila-bila masa (sekolah dibuka semula) yang syorkan. Sebab kita tahu hari yang diputuskan MKN dan KKM itu merupakan hari yang sesuai dan terbaik untuk sesi persekolahan.

"Sebab mereka mempunyai segala data, segala maklumat segala kemungkinan yang berlaku dan mereka lengkap dengan segalanya.

"Jadi pihak NUTP bersetuju dengan mana-mana tarikh yang dicadangkan oleh mereka, sebab kita begitu yakin dengan kepakaran apabila membuat keputusan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bilakah masa terbaik untuk semua sekolah di seluruh negara dibuka semula.

Dalam perkembangan sama, Amiruddin turut menjelaskan meskipun ketika ini tarikh rasmi untuk sekolah dibuka semula belum diputuskan namun kesemua guru telah berada dalam bersiap sedia.

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, KPM akan membuat makluman sekurang-kurangnya dua minggu awal bagi membolehkan pihak sekolah khususnya guru-guru membuat persediaan kerana banyak prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi seperti penjarakkan sosial dan cara menguruskan kantin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Amiruddin turut berharap KPM serta ketua-ketua jabatan dapat bertolak ansur dengan tidak memaksa guru-guru hadir ke sekolah dalam masa terdekat ini.

Katanya, KPM juga perlu mengeluarkan arahan rasmi supaya ia dapat diselaraskan dengan baik.

"Kita mendapati ada negeri-negeri yang telah mengarahkan guru-guru kembali ke stesen (tempat kerja) masing-masing sedangkan arahan sekolah dibuka semula belum diputuskan lagi," katanya.