Resolusi muzakarah garis panduan solat Jumaat dibawa kepada Majlis Raja-Raja

Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.
Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Resolusi muzakarah berkenaan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja sebagai panduan untuk dipertimbang dan diputuskan pihak berkuasa agama negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.

“Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali kelima diadakan pagi ini bagi membincangkan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh PKPB.

"Garis panduan itu disediakan bagi penelitian mufti-mufti seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli-Ahli Dilantik MKI, sebagai satu panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini, umat Islam diseru untuk mematuhi segala peraturan berkaitan penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan sentiasa berdoa agar wabak Covid-19 beransur hilang.

"Yakinlah bahawa akan tiba saatnya masjid dan surau kembali meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan diimarahkan dengan sebaiknya,” katanya.

Aktiviti keagamaan, termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah di surau dan masjid tidak dibenarkan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: