MDN gesa kerajaan benarkan solat Jumaat, solat Aidilfitri

Gesaan itu dibuat memandangkan kerajaan telah membenarkan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto 123RF
Gesaan itu dibuat memandangkan kerajaan telah membenarkan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Dewan Tertinggi Majlis Dakwah Negara (MDN) menggesa kerajaan membenarkan solat Jumaat dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri diadakan di beberapa masjid utama di seluruh negara.

Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, gesaan itu dibuat memandangkan kerajaan telah membenarkan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Jika PKPB boleh dilaksanakan, ini bermakna perhimpunan bersyarat di masjid dan surau bagi tujuan solat Jumaat dan solat Hari Raya Aidilfitri juga boleh dilakukan, sebagai contoh, sesebuah syarikat atau kilang yang membenarkan operasi dengan 100 peratus orang pekerja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Dalam pada itu, Mahmood Zuhdi berkata, pihaknya menyarankan pihak berkuasa agama dan kesihatan menyenaraikan kriteria yang dibenarkan untuk bersolat di masjid.

“Antaranya ialah kebenaran tersebut diberikan kepada masjid-masjid utama sahaja, misalnya masjid-masjid negeri dan masjid-masjid daerah yang mampu memenuhi syarat-syarat dalam perintah PKPB.

“Solat tersebut hendaklah dihadiri oleh tidak lebih daripada 50 jemaah yang terdiri dalam kalangan mereka yang benar-benar dikenali oleh pihak pentadbiran masjid dan memenuhi syarat-syarat kesihatan yang membolehkan mereka berada dalam sesuatu perhimpunan yang terkawal,” katanya.

Mahmood Zuhdi berkata, perhimpunan tersebut hendaklah tertakluk kepada semua syarat kesihatan dan keselamatan sosial seperti mana yang dikenakan ke atas sektor lain yang menerima faedah daripada syarat-syarat yang terdapat dalam PKPB itu.

Dalam masa sama, Mahmood Zuhdi berkata, MDN menyokong keputusan kerajaan mengurangkan kawalan pergerakan sosial dengan memperkenalkan PKPB bagi mengatasi koronavirus (Covid–19).

Artikel Berkaitan:

“Sebagaimana maklum, di bawah perintah baharu ini pelbagai kelonggaran telah diberikan terutama sekali bagi mengatasi kesan buruk dasar penjarakan sosial terhadap perkembangan ekonomi negara.

“MDN juga berpendapat pengimbangan antara objektif kesihatan masyarakat dan kepentingan ekonomi negara merupakan satu kebijaksanaan yang tinggi ditunjukkan kerajaan dalam menyelesaikan Covid-19 yang mengancam kesejahteraan hidup masyarakat sekarang,” katanya.