Tuanku Muhriz kagum komitmen rakyat berdepan Covid-19

Tuanku Muhriz (kanan) bertitah pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14.
Tuanku Muhriz (kanan) bertitah pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14.
A
A
A

SEREMBAN - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir menitahkan supaya rakyat di negeri ini dapat meneruskan semangat kerjasama dan saling membantu tanpa mengira kaum, agama dan keturunan di saat negara berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Baginda melahirkan rasa kagum dengan komitmen yang ditunjukkan oleh rakyat apabila ramai yang menjadi sukarelawan dengan memberikan bantuan melalui pelbagai cara.

"Sesungguhnya peristiwa ini merupakan satu sejarah dan kita telah membuktikan bahawa kita mampu bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

"Beta menyeru agar semangat ini terus diamalkan masyarakat walaupun selepas wabak Covid-19," titahnya pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini.

Tuanku Muhriz turut bertitah rasa penghargaan atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan serta mereka yang membantu dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19.

Selain itu baginda menyeru semua wakil rakyat supaya bermuhasabah diri dan melihat semula peranan dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan supaya matlamat memberi kesejahteraan kepada rakyat dan seterusnya menjadi negeri maju terlaksana.

Titah baginda, kesefahaman dan kerjasama antara satu sama lain akan dapat memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dan efektif.

"Adalah menjadi tanggungjawab ahli Dewan untuk sentiasa mengutamakan pembangunan masyarakat dan negeri dengan bersama-sama menyumbang tenaga dan idea kerana inilah kepercayaan dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Sesungguhnya rakyat sentiasa memerhati dan menilai apa sahaja tindakan ahli Yang Berhormat sekalian. Oleh yang demikian, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan intelektual atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama," titah baginda.

Baginda turut berpesan supaya sebarang tindakan atau keputusan yang diambil adalah berteraskan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.

"Berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan.

"Berkhidmatlah dengan ikhlas demi negeri yang kita kasihi agar beroleh kejayaan seperti yang diimpikan," titah baginda.

Baginda bertitah, tindakan proaktif telah diambil oleh kerajaan negeri dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM18.74 juta ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri bagi membiayai pelbagai program bantuan kepada rakyat dan barisan hadapan.

Sementara itu baginda turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM556 juta pada tahun 2019 yang merupakan nilai kutipan hasil tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri ini.

Malah titah baginda, ia juga melepasi sasaran yang dibajetkan iaitu RM430 juta sekali gus membuktikan bahawa hasrat kerajaan negeri semasa melaksanakan belanjawan tahun 2019 bertemakan 'Memperkayakan Hasil, Memakmurkan Kekayaan' telah berjaya direalisasikan.

"Beta berharap pencapaian yang cemerlang ini akan diteruskan bagi tahun 2020 dengan jangkaan hasil kerajaan negeri sebanyak RM457 juta berdasarkan belanjawan yang telah disediakan," titahnya.