Misi Surah Ar-Rahman sebagai Solusi “Reboot Global Harmony”

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

HARI ini saya ingin berkongsi program tahunan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, berinteraksi dengan Al-Quran, World #QuranHour, tahun ke 5, akan berlangsung serentak di seluruh dunia pada 20 Ramadan 1441H bersamaan hari Rabu, 13 Mei 2020 membawa misi Surah Ar-Rahman, 55: 1- 78 sebagai solusi mengembalikan keharmonian global, “Reboot Global Harmony”.

Kesan Sejagat COVID-19

Ujian pandemik COVID-19 ini telah memberi kesan sejagat kepada seluruh warga global dari segi cara hidup, sosial, ekonomi dan tentu sekali kepada mental, emosi dan spiritual kita.

Sekiranya kita tidak segera menanganinya dengan sikap dan cara berfikir yang betul kesan pandemik ini berpotensi melemahkan kita dalam banyak segi, terutamanya dari sudut semangat serta daya tahan mental dan emosi kita.

Solusi dari Al-Quran

Buat seorang Muslim, kita berharap Keagungan Al-Quran menjadi kekuatan kita bersama untuk menghadapi cabaran besar dan tahun-tahun sulit yang dijangka tiba.

Dengan kekuatan dalaman, syukur dan yakin, Insya-Allah kita tidak akan berputus asa dari Rahmat Allah SWT. Kita akan bangkit menjadi lebih baik setelah ini.

Kami bawakan World #QuranHour dengan Misi Surah Ar-Rahman pada 10 hari terakhir Ramadan tahun ini sebagai solusi menuju kepada ketenteraman jiwa dan membina rasa syukur di kalangan ummah global dengan tidak mendustakan empat nikmat besar yang Allah berikan kepada kita sebagaimana dirakamkan dalam Surah Agung ini.

Artikel Berkaitan:

Hadiah dari Allah

Kita tidak dapat menafikan bahawa COVID-19 ini telah menjadi cabaran besar di seluruh dunia, namun pada masa yang sama telah menjadi “hadiah’ dari Allah SWT untuk menyelesaikan masalah keharmonian global dan isu ketegangan kaum dan agama.

Kita telah menyaksikan masalah yang seolah-olah tidak ada solusi berkesan sebelum ini seperti pencemaran alam dan masalah sesama makhluk juga selesai.

Dunia seperti sedang melalui proses "Reboot" dari Allah SWT. Oleh itu, saya merasakan betapa perlunya kita segera mengambil momentum ini dengan mengadakan gerakan besar-besaran berinteraksi dengan Kalam Ilahi, mendoakan agar apa yang sedang kita lalui akan memberi impak kepada jiwa manusia untuk tunduk menginsafi kelemahan kita dan betapa kita perlukan "Divine Intervention" agar kita dapat bangkit bagi memakmurkan dunia. Biidznillah.

Tentang World #QuranHour

Pelaksanaan Malaysia #QuranHour telah bermula sejak tahun 2015 dan World #QuranHour bermula pada tahun 2016 secara tahunan. Sehingga tahun 2019, pelaksanaan World #QuranHour telah diadakan di lebih 3000 lokasi berdaftar di seluruh Malaysia, 300 lokasi berdaftar di 76 buah negara dan telah mencapai 1.46 bilion capaian di media sosial.

Gerakan berinteraksi dengan Al-Quran: Baca, Faham dan Amal ini mempunyai Visi untuk MengQURANkan Bangsa dan MengIKHLASkan Ummah. Dengan membaca dan menikmati keajaiban Al-Quran serta memahami mesej dari Allah kepada kita, kita berharap cara fikir ummah diluruskan dengan panduan dari Al-Quran. Semoga akan terbentuk "way of life" berlandaskan Al-Quran; pengurusan hidup di rumah, di tempat kerja dan dalam negara semuanya merujuk kepada Al-Quran, Insya-Allah.

Komitmen dan solidariti dari semua media cetak dan elektronik serta digital telah membantu kami membawakan misi berinteraksi dengan Al-Quran ini dari Malaysia ke seluruh dunia.

Selama 1 jam, antara jam 12 tengahari hingga 1 petang, semua yang terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan akan membaca, memahami mesej dari Allah melalui tadabbur Al-Quran dan menggariskan apa perkara yang perlu mereka perlu laksana dan amalkan dalam menguruskan hidup mereka.

Tahun ini menjadi pengalaman baru kepada seluruh penggerak World #QuranHour yang terlibat kerana ramai rakyat berada di rumah atau di ruang pejabat.

Alhamdulillah, selain sokongan rakan sinergi utama untuk menyebarluaskan misi ini seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan Islamic Tourism Center Malaysia, 4 stesen TV dan platform digital akan menayangkan program 1 jam berinteraksi dengan Al-Quran, Baca, Faham dan Amal secara siaran langsung menjelang zuhur, bermula Jam 12 tengahari hingga 1 petang pada hari Rabu 20 Ramadan bersamaan 13 Mei 2020 ini.

Stesen TV dan media yang telah mengesahkan komitmen untuk bersama ialah TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis, Sinar Harian dan Ideaktiv.

Program yang dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Malaysia, kali ini akan bekerjasama dengan Ar Rahman Quranic Learning Center dari Indonesia bagi mengisi program 1 jam ini.

Apa yang perlu dilakukan dalam 1 jam pada 20 Ramadan ini?

Ikuti dari rumah atau ruang kerja masing-masing. Siapkan Al-Quran Terjemahan

Ikuti siaran langsung di TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis dan atas talian di FB; Sinar Harian, TV AlHijrah, World #QuranHour

Sebagai solidariti bersama, semasa 1 jam World #QuranHour, ambil gambar sendiri atau bersama keluarga dan rakan (jaga penjarakan sosial) dan pos ke media sosial dengan tanda pagar: World #QuranHour

Bagi mendapatkan maklumat terkini serta info untuk bahan World #QuranHour 2020, mohon LIKE FB page: QuranHour

Bersama-sama kita doakan keharmonian global dengan Kalam dari Ar Rahman. Kita gemakan Surah Ar Rahman, 55: 1-78, dari Malaysia & Indonesia ke seluruh dunia untuk santapan jiwa ummah global.

Mohon bantuan SHARE.

Jom kita sama-sama gelombangkan gerakan mengQURANkan BANGSA dan mengIKHLASkan UMMAH ini ke seluruh negara dan dunia.

Salam buat semua.

Mendoakan keharmonian buat semua,

Hussamuddin Haji Yaacub

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

World #QuranHour

#WorldOfCompassion