KPDNKK periksa 47 kantin sekolah

Zulfamy (dua, dari kanan) menunjukkan makanan yang dijual di kantin itu.
Zulfamy (dua, dari kanan) menunjukkan makanan yang dijual di kantin itu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu telah melakukan pemeriksaan harga makanan dan minuman di 47 kantin sekolah seluruh negeri sehingga hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, pihaknya berpuas hati dengan pemeriksaan itu kerana tiada sebarang tindakan kes dihasilkan berikutan pengusaha mematuhi arahan ditetapkan.

Menurutnya, semua pengusaha mempamerkan harga jualan manakala harga makanan dan minuman yang dijual juga munasabah tanpa sebarang unsur pencatutan.

“Oleh itu, kita nasihatkan kepada pengusaha agar sentiasa mempamerkan tanda harga jualan makanan dan minuman di kantin dan mengemaskini tanda harga itu supaya jelas dan terang bagi memudahkan murid-murid dan guru melihat tanda harga itu.

“Sekiranya gagal, pengusaha boleh dikenakan kompuan minimum RM200 di bawah Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit (PHOPR 1993),” katanya ketika membuat pemeriksaan kenaikan harga makanan dan minuman di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman, hari ini.

Hadir sama Guru Besar SK Sultan Sulaiman, Mohamad Kabidi Mohamad.

Dalam pemeriksaan itu kata Zulfamy, pengusaha yang berniaga di kantin itu sejak tahun 2017 didapati mengenakan harga makanan dan minuman lebih murah berbanding pengusaha sebelum ini manakala penandaan harga juga memuaskan.

Beliau berkata, kontrak kantin dengan sekolah juga diperiksa dan harga jualan lima jenis makanan seperti nasi minyak, nasi lemak, bihun sup, kuew tiaw sup dan bihun goreng turut diambil sebagai laporan ke ibu pejabat.

Artikel Berkaitan:

“Kita turut menerangkan mekanisme keuntungan tinggi yang tidak munasabah kepada pengusaha kantin sebagai pendidikan dan maklumat.

“Pihak sekolah mengalu-alukan kedatangan pegawai dari kementerian kerana tindakan berupa pendidikan dan penguatkuasaan dapat memberi impak yang baik kepada pengusaha kantin dan didikan awal kepada pelajar,” katanya.