Hajat ziarah abang ipar tak kesampaian

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Seorang warga emas yang telah memperoleh kebenaran bergerak dari sini ke Sarikei semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk melawat abang iparnya yang sakit tenat tidak dapat menunaikan hasratnya apabila maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Paradom hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa, Yii Kheng Ang, 65, tersepit di tempat duduk pemandu kereta Perodua Kembaranya yang remuk selepas bertembung dengan sebuah lori kargo pada kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pemandu lori yang membawa muatan tong gas itu cedera dan kini dirawat di Hospital Sibu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi petang ini.

Menurutnya, Kheng Ang telah ke Balai Polis Lanang pada sebelah pagi tadi bagi mengisi borang kebenaran pergerakan merentas daerah untuk melawat abang iparnya yang berusia 85 tahun dan sedang sakit tenat di Sarikei.

Lokasi kemalangan itu juga berlaku hanya kira-kira 1 kilometer dari sebuah sekatan jalan raya yang didirikan bagi menguatkuasakan PKP itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: