Karnival Pesona Wanita DUN Dong pentas kreativiti kaum hawa

RAUB - Golongan wanita di daerah ini berpeluang mengetengahkan kreativiti masing-masing menerusi pertandingan menggayakan kebaya dan memperagakan pakaian tradisional sempena Karnival Pesona Wanita DUN Dong 2026 yang julung kali dianjurkan di Kompleks Rakan Muda di sini pada Ahad
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Diyana, Siti Diyana Mohd Amin berkata, program anjuran Akademi Diyana itu telah menghimpunkan kira-kira 700 peserta daripada pelbagai latar belakang masyarakat setempat.
Menurutnya, penganjuran tersebut memberi peluang kepada peserta memperagakan pakaian tradisional pilihan masing-masing, selain mengetengahkan kreativiti dalam menggayakan busana.
"Jadi program ini kita bagilah mereka berkarya, bersuka ria, berjumpa semua kawan-kawan, bagaimana mereka bekerjasama untuk merealisasikan tema, konsep apa yang mereka nak buat.
“Untuk pertandingan Ratu Kebaya kita bagi peluang kepada mereka untuk menggayakan macam mana nak menginovasikan kebaya itu, macam mana dia nak memperagakan kebaya itu sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kompleks tersebut pada Ahad.

Karnival tersebut disempurnakan Exco Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal dan turut dihadiri isterinya,Datin Yasrin Mohammed.
Karnival itu dianjurkan bersama Akademi Diyana dan Wanita DUN Dong dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dong menampilkan pelbagai pertandingan seperti hiasan sirih junjung dan hantaran coklat, Ratu Cantik Orang Asli, memasak patin tempoyak, Ratu Kebaya serta Pesona Wanita Pakaian Tradisional Malaysia.
Selain pertandingan Ratu Kebaya, karnival itu turut menampilkan kategori Pesona Wanita Pakaian Tradisional Malaysia yang membolehkan peserta memilih busana daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Kadazan.
Siti Diyana berkata, penyertaan komuniti Orang Asli menerusi kategori Ratu Cantik Orang Asli turut memberi ruang kepada mereka memperkenalkan pakaian mengikut tradisi komuniti masing-masing.
"Mereka juga membuat persembahan menggunakan tiga lagu yang disediakan oleh pihak penganjur," katanya.
Mengulas perancangan seterusnya, beliau berkata, pihaknya terbuka untuk menganjurkan karnival berkenaan dalam skala lebih besar di Raub sekiranya mendapat keizinan.
Menurutnya, cadangan itu turut mengambil kira hasrat Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong yang mahu program berkenaan diperluas ke peringkat lebih besar.
"Jika karnival ini diteruskan mungkin kita akan adakan pertandingan solekan secara besar-besaran di Raub selain pertandingan memasak asam rong.
"Jadi mencadangkan pelaksanaannya selama dua hari dengan penambahan beberapa aktiviti termasuk sukan untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


