'Tahun ni bersahur, berbuka, tarawih seorang diri'

Rafidah (depan) sedih tidak dapat pulang sambut ulang tahun kelahiran bapanya.
Rafidah (depan) sedih tidak dapat pulang sambut ulang tahun kelahiran bapanya.
A
A
A

DUBAI - Kerinduan dengan keluarga ketika menyambut Ramadan antara dugaan perlu dihadapi bagi mereka yang berada di perantauan.

Itulah perasaan dialami Rafidah Farhana Sarulnisah, yang begitu merindui keluarganya apabila dia pertama kali menyambut Ramadan di negara orang, tahun ini.

Sejak 2018 lalu, wanita berusia 28 tahun tersebut berada di Dubai kerana bertugas di sebuah syarikat konglomerat multinational, dalam bidang industrial software bagaimanapun Ramadan kali ini, dia tidak pulang ke tanah air.

Lebih terbeban di hati, apabila anak sulung dari empat beradik ini juga mahu pulang ke tanah air bagi menyambut ulang tahun kelahiran bapanya, Sarulnisah Salehudin namun tidak kesampaian susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurut Rafidah Farhana, sudah menjadi kebiasaan setiap kali menjelang 23 April, dia dan ahli keluarga akan menyambut hari lahir bapanya.

"Dari zaman belajar di Universiti Malaya memang akan balik untuk sambut.

"Kalau 'birthday' jatuh pada hari biasa, kami adik-beradik akan balik dan berkumpul pada hujung minggu untuk sambut. Tapi tahun ini, usia ayah 54 tahun, saya sekadar beri ucapan dari jauh, dari Dubai." katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Rafidah (kiri) bersama ahli keluarga.
Rafidah (kiri) bersama ahli keluarga.

Menurutnya, kesedihan yang ditanggung tidak dapat digambarkan dengan kata-kata semasa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ya, sedihnya tak terkata. Mama pun asyik tanya bila 'flight open' dan boleh balik. Tapi buat masa ini memang tak boleh pulang.

"Saya dekat sini sihat dan selamat. Kawalan pergerakan juga sedang dilaksanakan. Ia lebih kurang sama dengan PKP di Malaysia. Tiada masalah untuk dapatkan bekalan keperluan asas..

"Tahun lepas boleh balik kampung berbuka dengan keluarga, boleh keluar berbuka dengan kawan-kawan dan bertarawih berjemaah. Tahun ni bersahur, berbuka dan tarawih seorang diri." katanya.

Bagaimanapun, anak jati Pahang ini berharap rakyat berganding bahu mendengar arahan kerajaan untuk menghapuskan Covid-19.

"Saya harap semua orang sentiasa kuat dan selalu beri sokongan kepada antara satu sama lain untuk lalui fasa Covid-19.

"Saya juga harap mereka yang bernasib baik dapat bersama keluarga supaya gunakan masa tersebut sebaiknya untuk memperbaiki dan mengeratkan hubungan bersama ahli keluarga sebab rindu pada keluarga memang berat nak ditanggung." katanya.