Menyamar pegawai pengiring Raja Muda Selangor, lelaki tipu mangsa RM1.42 juta

SHAH ALAM - Kegiatan penipuan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai pengiring Raja Muda Selangor sejak 2023 akhirnya terkubur selepas suspek ditahan bersama dua beradik di Shah Alam dan Johor pada Selasa.
Suspek berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan di sebuah kondominium dipercayai milik kenalannya di Johor Bahru kira-kira jam 5 petang selepas menghilangkan diri sejak 13 Oktober.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek dipercayai menggunakan gambar Raja Muda Selangor untuk menawarkan penjualan kenderaan dan rumah kepada orang ramai sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM1.4 juta di seluruh negara.
Menurutnya, sebanyak 26 laporan polis diterima di seluruh Malaysia, manakala 15 laporan direkodkan di Selangor dengan jumlah kerugian RM960,020.
"Suspek mengaku sebagai pegawai pengiring kepada Raja Muda Selangor dan menggunakan gambar baginda untuk memperdaya mangsa menerusi tawaran penjualan kenderaan serta rumah.
"Siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai bermula sejak 2023 dan turut melibatkan mangsa di luar Selangor," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan suspek dipercayai mengambil kesempatan menggunakan nama serta imej yang mempunyai kaitan dengan keluarga diraja bagi memperdaya mangsa.
Sebelum ini, polis membuka siasatan selepas menerima laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor di Istana Mestika pada 15 Oktober lalu berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar Raja Muda Selangor.
Terdahulu, Pentadbiran Istana Selangor menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penyamaran atau penyalahgunaan nama institusi diraja.
Beliau berkata, dua lagi individu yang ditahan terdiri daripada seorang wanita berusia 26 tahun dan abangnya berusia 27 tahun.
"Kedua-dua individu terbabit dipercayai membantu menyembunyikan suspek utama dan ditahan di lokasi berbeza, masing-masing di Shah Alam dan Johor Bahru.
"Hasil perkongsian maklumat orang ramai membantu polis mengesan dan menahan suspek utama dalam operasi dijalankan itu," katanya.
Menurutnya, siasatan turut membabitkan beberapa kontinjen polis lain termasuk Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Perlis.
"Suspek didapati bekerja sendiri dan tidak mempunyai kaitan sebagai kakitangan istana atau mana-mana institusi diraja Selangor.
"Antara hartanah yang ditawarkan termasuk rumah atas tanah dan kondominium dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi yang digunakan," katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan membuat pengesahan melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


