Bahaya makan ayam tak cukup masak

Hantaran doktor Ahmad pada Facebook miliknya.
Hantaran doktor Ahmad pada Facebook miliknya.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang doktor menasihati ibu bapa memeriksa terlebih dahulu makanan sebelum diberikan kepada anak-anak.

Doktor Ahmad Luqman Bukhari dari Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban membuat hantaran melalui Facebooknya menceritakan semula kisah seorang anak sepasang suami isteri keracunan makanan kerana memakan ayam tidak cukup masak.

“Sejak pagi tadi dah berbelas kali muntah dan cirit-birit. Jarum branula terpaksa dimasukkan ke saluran darah di kedua-dua belah lengan, remuk hati melihatnya,” tulis doktor Ahmad.

Beliau juga mendapati bahawa pesakitnya memakan ayam yang masih mempunyai kesan darah dan kemerahan kerana tidak masak dengan sempurna sambil memberitahu ia boleh menjadi medium sesuai untuk kuman membiak.

Katanya, sekiranya kuman tersebut memasuki salur darah anak-anak dan merebak ke seluruh badan sehingga menyebabkan keracunan teruk, keadaan itu boleh mengundang kematian.

“Sebab itu mak ayah tolong periksa dahulu sebelum memberi sebarang makanan kepada anak-anak.

“Jangan beri sekiranya terdapat tanda-tanda ayam tidak cukup masak seperti berbau hanyir, berlendir, daging berwarna kemerahan, ada kesan darah dan suhu di bahagian daging lebih sejuk,” jelasnya.

Beliau juga meminta orang ramai membantu untuk menyebarkan info berkenaan kepada orang ramai agar kesihatan anak-anak terjaga.

Artikel Berkaitan:

Hantaran berkenaan mendapat 4,400 tanda suka dan 9,007 perkongsian sejak semalam.