1 maut, 5 cedera dalam insiden tembakan dekat Paris

Anggota polis berada di lokasi kejadian seorang lelaki melepaskan tembakan dari dalam keretanya, menyebabkan seorang maut di Trappes, pinggir bandar Paris. Foto AFP
Anggota polis berada di lokasi kejadian seorang lelaki melepaskan tembakan dari dalam keretanya, menyebabkan seorang maut di Trappes, pinggir bandar Paris. Foto AFP
A
A
A

PARIS - Seorang terbunuh manakala lima lagi cedera, termasuk seorang budak perempuan berusia 12 tahun, selepas seorang individu melepaskan tembakan pada Jumaat di Trappes, sebuah bandar di Daerah Yvelines berhampiran barat daya Paris, menurut Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez pada sidang media, lapor Xinhua.

Bila ditanya mengenai motif, Nunez menyelar insiden itu sebagai "jenayah keganasan" sambil menambah bahawa "siasatan sedang dijalankan dan ini adalah perbuatan yang sangat serius".

Insiden tembakan berlaku pada kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan (0830 GMT).

Penyerang melepaskan tembakan menggunakan senjata automatik dari dalam kereta, lapor akhbar harian Perancis Le Figaro.

Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu menerusi platform media sosial X mengesahkan bahawa suspek telah ditangkap dan ditahan polis.

Pejabat Pendakwa Raya Anti-Keganasan Kebangsaan Perancis (PNAT) memaklumkan bahawa ia telah membuka siasatan berhubung "pembunuhan yang berkait dengan tindakan keganasan". Bernama-Xinhua

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!