Isu mafia korporat: Kenapa Rafizi lakukan serangan terpilih, perjuang integriti atau mahu lemahkan PM? - SekPur

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) hari ini mempersoalkan motif dan corak serangan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kerana menjalankan serangan terpilih dalam isu mafia korporat yang dibangkitkan beliau saban hari.

Pengerusinya, Shahbudin Embun berkata, rakyat wajar mempersoalkan adakah pendekatan itu benar-benar bertujuan memperjuangkan integriti, atau turut menjadi sebahagian daripada percaturan politik untuk melemahkan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan, isu yang dikaitkan dengan dakwaan mafia korporat bukan perkara kecil kerana melibatkan persoalan integriti, ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Tegasnya, dalam laporan yang menjadi perhatian, nama Victor Chin dikaitkan dengan dakwaan penyerahan wang tunai berjumlah RM9.5 juta dan perkara itu memerlukan penjelasan serta penelitian pihak berkuasa berdasarkan bukti yang sah.

“Saya mempersoalkan mengapa perbahasan politik kelihatan lebih tertumpu kepada beberapa pimpinan PKR, sedangkan semua individu yang mempunyai maklumat relevan, termasuk mereka yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan, sewajarnya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Ini bukan soal melindungi mana-mana individu. Ini soal keadilan yang mesti dilaksanakan secara menyeluruh.

“Jika perjuangan benar-benar berteraskan integriti, maka prinsipnya mestilah jelas, semua pihak yang berkaitan perlu diteliti tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau hubungan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim pada Rabu berkata, Victor Chin perlu tampil segera bagi membantu pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu mafia korporat agar keadilan dapat ditegakkan untuk semua pihak.

Mengulas lanjut, Shahbudin berkata, setiap dakwaan serius perlu disokong bukti yang boleh diuji selain cerita yang berlegar, andaian dan naratif yang belum disahkan tidak boleh terus dianggap sebagai kebenaran mutlak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus. Jika terdapat bukti salah laku, tindakan hendaklah diambil mengikut undang-undang.

Pada masa sama, Shahbudin tidak melihat setiap kritikan Rafizi berpunca daripada dendam peribadi.

Namun tegasnya, apabila serangan politik berulang kali menyasarkan individu tertentu, rakyat berhak menilai sama ada pendekatan tersebut benar-benar mengutamakan kepentingan awam.

"Lebih-lebih lagi, apabila wujud perbezaan pendirian yang jelas mengenai masa depan kepimpinan Anwar, rakyat sewajarnya meneliti sama ada perdebatan yang berlangsung menawarkan penyelesaian kepada negara atau sekadar memanjangkan pertelingkahan politik.

“Jika seseorang pemimpin mahu mencabar kerajaan melalui proses demokrasi, kemukakanlah dasar alternatif, hujah yang kukuh dan penyelesaian yang boleh dinilai rakyat.

“Jangan sampai setiap isu negara dijadikan medan untuk mencetuskan krisis keyakinan tanpa memberikan jawapan yang tuntas,” katanya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!