Sos Cili Mekdi kini dalam botol, 100,000 unit ditawarkan

Dua pelanggan setia McDonald’s menjadi individu terawal berjaya menebus sos cili McDonald's dalam botol
Dua pelanggan setia McDonald’s menjadi individu terawal berjaya menebus sos cili McDonald's dalam botol
A
A
A

MCDONALD'S Malaysia memperkenalkan Sos Cili Mekdi dalam botol buat pertama kali di dunia susulan permintaan peminat yang mahu menikmati sos kegemaran mereka dalam kuantiti lebih banyak.

Sebanyak 100,000 botol ditawarkan di seluruh negara mulai 22 Oktober hingga 4 November ini pada harga RM10 sebotol dengan setiap pembelian satu McValue Meal, termasuk melalui pesanan penghantaran, selagi stok masih ada.

Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Chin Mei Lee berkata, idea memperkenalkan sos berkenaan dalam botol tercetus daripada perbualan dan perkongsian peminat di media sosial mengenai cara mereka menikmati Sos Cili Mekdi.

Hujan agak lebat tidak menghalang pelanggan setia McDonald’s untuk beratur panjang bagi menebus sos cili McDonald's di Bukit Bintang
Hujan agak lebat tidak menghalang pelanggan setia McDonald’s untuk beratur panjang bagi menebus sos cili McDonald's di Bukit Bintang

Menurutnya, ada peminat yang menyimpan paket sos itu di dalam peti sejuk atau laci dapur, mengumpulkannya dalam balang di rumah, malah membawanya ketika melancong ke luar negara.

“Kami tahu rakyat Malaysia sangat menggemari Sos Cili Mekdi. Ada peminat yang berkongsi pengalaman membawa sos ini ketika melancong ke luar negara, menunjukkan betapa mereka menyukainya.

“Perkongsian dan permintaan mereka inilah yang memberi inspirasi kepada kami untuk memperkenalkan Sos Cili Mekdi dalam botol buat pertama kalinya di dunia,” katanya.

Beliau berkata, tawaran untuk tempoh terhad itu juga bertujuan meraikan cara tersendiri rakyat Malaysia menikmati sos berkenaan, selain menghargai sokongan serta perkongsian momen mereka bersama Mekdi selama ini.

Artikel Berkaitan:

Kandungan sebotol Sos Cili Mekdi bersamaan dengan kira-kira 44 paket, membolehkan pelanggan menikmati sos berkenaan di rumah bersama pelbagai hidangan pilihan.

Pada acara khas McDonald’s Malaysia di Lot 10, Bukit Bintang, di sini pada Rabu malam, peminat berpeluang menukar satu paket Sos Cili Mekdi daripada simpanan mereka dengan satu botol secara percuma.

Bagaimanapun, tawaran penebusan itu terhad kepada 500 peminat pertama.

Ratusan pelanggan McDonald’s yang sanggup beratur di dalam hujan untuk membuat penebusan sos cili dalam botol diperkenalkan McDonald's
Ratusan pelanggan McDonald’s yang sanggup beratur di dalam hujan untuk membuat penebusan sos cili dalam botol diperkenalkan McDonald's

Peminat yang menghadiri acara berkenaan turut berpeluang meletakkan nama sendiri pada botol masing-masing menerusi stesen personalisasi yang disediakan, menjadikannya lebih istimewa untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

McDonald’s Malaysia memaklumkan, pelanggan boleh mendapatkan Sos Cili Mekdi dalam botol di semua restorannya di seluruh negara sepanjang tempoh tawaran, bermula 22 Oktober hingga 4 November ini, tertakluk kepada ketersediaan stok.

Tawaran berkenaan memberi peluang kepada peminat membawa pulang sos yang lazim dinikmati bersama hidangan McDonald’s untuk dinikmati bersama makanan pilihan mereka di rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!