'Amukan' rakyat Indonesia

Penunjuk perasaan berhadapan dengan anggota polis rusuhan ketika demonstrasi berlangsung. Foto: AFP
Penunjuk perasaan berhadapan dengan anggota polis rusuhan ketika demonstrasi berlangsung. Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Kemarahan rakyat Indonesia terhadap krisis jerebu semakin memuncak apabila demonstrasi tercetus di beberapa bandar pada Selasa, bersempena ulang tahun kedua pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

Menurut AFP, bantahan berlangsung di Jakarta, Bandung, Yogyakarta, Pekanbaru dan Makassar, dengan mahasiswa mendakwa kerajaan gagal menangani kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan sejak Julai.

"Jika kami terbakar, kamu turut terbakar bersama kami!" demikian antara slogan pada sepanduk peserta demonstrasi.

Seorang lagi penunjuk perasaan membawa mesej: "Saya berhak bernafas. Padamkan kebakaran segera."

Di Palangka Raya, peniaga minuman, Melsi, 40, menangis ketika menceritakan kesukaran hidup akibat jerebu.

"Jualan merosot, harga barang meningkat, tetapi pendapatan tiada," katanya.

Suri rumah, Sifra, 29, pula mendakwa suami dan dua anaknya mengalami batuk sejak sebulan lalu.

Menurutnya, asap tetap memasuki rumah sehingga menjejaskan kesihatan keluarga.

Sementara itu, enam aktivis Greenpeace ditahan selepas memasang sepanduk bantahan di Jakarta.

Artikel Berkaitan:

Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia memaklumkan lebih 60,000 anggota bomba dan sukarelawan dikerahkan, selain 49 pesawat disediakan untuk operasi pemadaman.

Bagaimanapun, sebahagian operasi udara terganggu akibat jerebu tebal.

Menurut pemantau Nusantara Atlas, kebakaran memusnahkan lebih 1.9 juta hektar tanah sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Pencemaran itu turut menjejaskan Malaysia dan Singapura, dengan fenomena El Nino memburukkan keadaan kebakaran. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!