Malaysia kekal tangga teratas senarai kewangan Islam terbaik dunia

Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pembangunan kewangan Islam global dengan skor meningkat kepada 136 mata dalam Indeks Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2026.
Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pembangunan kewangan Islam global dengan skor meningkat kepada 136 mata dalam Indeks Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2026.
A
A
A

MALAYSIA mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pembangunan kewangan Islam global dengan skor meningkat kepada 136 mata dalam Indeks Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2026, mengatasi Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Industri kewangan Islam global juga terus menunjukkan pertumbuhan dan daya tahan yang kukuh pada 2025 apabila jumlah aset mencecah AS$6.5 trilion, meningkat sembilan peratus berbanding 2024.

Daripada jumlah itu, sektor perbankan Islam menyumbang bahagian terbesar sebanyak 71 peratus, diikuti sukuk (18 peratus) dan dana Islam (enam peratus). Baki aset terdiri daripada institusi kewangan Islam bukan perbankan (OIFI) dan sektor takaful.

Dana Islam mencatatkan pertumbuhan paling tinggi, iaitu 22 peratus pada 2025, mencerminkan perkembangan berterusan pasaran pelaburan Islam.

Berdasarkan laporan diterbitkan Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD) dan London Stock Exchange Group (LSEG), Malaysia mendahului 140 negara yang dinilai menerusi lima dimensi utama, iaitu prestasi kewangan, tadbir urus, kemampanan, pengetahuan dan kesedaran.

Arab Saudi berada di tempat kedua dengan skor 113, diikuti UAE (95), Indonesia (80) dan Pakistan (74).

"Malaysia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia dan Pakistan mengekalkan kedudukan mereka sebagai pasaran kewangan Islam paling maju di dunia.

"Negara-negara ini terus mendapat manfaat daripada rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif, pembangunan institusi yang kukuh, pasaran kewangan yang aktif dan ekosistem pengetahuan yang mantap.

"Di luar lima teratas, beberapa negara mencatatkan keuntungan ketara, termasuk Türkiye, Tanzania, Kenya, Benin, Azerbaijan dan Uzbekistan, mencerminkan peningkatan dinamisme kedua-dua pasaran yang mapan dan sedang pesat membangun," memetik laporan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan berkenaan, Malaysia mencatatkan skor tertinggi bagi dimensi kesedaran pada 200 mata, diikuti kemampanan (156), prestasi kewangan (150), tadbir urus (98) dan pengetahuan (87).

Pencapaian tersebut mencerminkan kedudukan Malaysia yang kukuh dalam ekosistem kewangan Islam, bukan sahaja dari segi prestasi pasaran, malah pembangunan rangka kerja kawal selia, kemampanan dan penyebaran pengetahuan berkaitan industri berkenaan.

Dari sudut pasaran, aset kewangan Islam Malaysia berjumlah AS$862 bilion pada 2025, menjadikannya pasaran ketiga terbesar di dunia berdasarkan nilai aset selepas Iran dan Arab Saudi.

Pada peringkat global, penerbitan sukuk meningkat 11 peratus kepada AS$291.4 bilion pada 2025, manakala aset di bawah pengurusan dana Islam berkembang 22 peratus kepada AS$375 bilion.

"Arab Saudi menjadi pasaran sukuk terbesar di dunia dengan nilai terkumpul, manakala Malaysia terus menerajui inovasi melalui pembangunan," menurut laporan tersebut.

Pada masa sama, laporan tersebut turut merekodkan penerbitan sukuk ESG sebanyak AS$23.8 bilion pada 2025, manakala jumlah sukuk ESG terkumpul mencecah AS$73.2 bilion.

Walaupun industri terus berkembang, prospek kewangan Islam global masih berdepan cabaran termasuk ketegangan geopolitik, ketidaktentuan harga tenaga, tekanan inflasi serta gangguan terhadap aliran perdagangan dan pelaburan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!