Empat daripada tujuh token CSS diberi kepada syarikat tempatan - Johari

KUALA LUMPUR - Sebanyak empat daripada tujuh token Arm Compute Subsystems (CSS) di bawah kerjasama strategik Malaysia dengan Arm Limited, telah diberikan kepada syarikat tempatan bagi pembangunan cip untuk kegunaan automotif, pusat data dan pelayan mini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini menjadikan tiga token CSS masih tersedia manakala kira-kira empat daripada 25 token Arm Flexible Access (AFA) telah diberikan setakat ini.
Beliau berkata, kerjasama yang dibawa oleh Kementerian Ekonomi pada 2025, menyediakan akses teknologi kepada syarikat yang berhasrat membangunkan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan harta intelek (IP) secara sendiri.
"Setakat hari ini kita baru mula (usaha ini). Jadi daripada tujuh CSS, empat sahaja yang kita baru berikan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai syarikat semikonduktor yang terlibat dalam kerjasama strategik dengan Arm, di Dewan Rakyat hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Johari berkata pembangunan cip oleh penerima token CSS berkenaan melibatkan aplikasi dalam sektor automotif, pusat data dan pelayan mini.
Bagaimanapun, katanya, kos pembangunan cip masih menjadi antara kekangan bagi syarikat tempatan yang mahu menceburi aktiviti bahagian hadapan industri semikonduktor.
Menurutnya, walaupun akses teknologi itu memberi satu permulaan kepada syarikat, pembangunan selanjutnya masih memerlukan tempoh sekitar dua hingga dua setengah tahun dan bergantung kepada teknologi serta jenis cip yang hendak dibangunkan.
Johari berkata, kos menyiapkan pembangunan cip yang lebih ringkas boleh mencecah kira-kira US$50 juta manakala cip lebih kompleks memerlukan kos lebih tinggi.
Menyentuh Kerangka Insentif Baharu (NIF) yang diperkenalkan pada Mac 2026, beliau berkata, pemberian insentif itu menekankan keupayaan pembuatan lebih kompleks, hubungan dengan rantaian bekalan tempatan serta pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi dan bernilai tinggi.
Pada masa sama, katanya, pelabur yang memohon insentif perlu menunjukkan sejauh mana pelaburan mereka dapat mewujudkan hubungan dengan pembekal tempatan dan memberikan manfaat kepada rantaian bekalan negara.
"Kalau pekerjaan pula, ini mestilah yang berpendapatan tinggi dan bernilai tinggi,” ujarnya.
Tambahnya, antara insentif yang dipertimbangkan termasuk elaun cukai pelaburan dan layanan cukai khas dengan permohonan tertentu dinilai berdasarkan setiap kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

