Mangsa gambar bogel AI boleh dapatkan kaunseling KPWKM

Nancy
Nancy
A
A
A

GEORGE TOWN - Mangsa penyebaran gambar bogel hasil suntingan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk lebih 300 pelajar perempuan sekolah menengah di Negeri Sembilan boleh mendapatkan khidmat kaunseling daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian itu bersedia membantu mangsa dan keluarga mereka yang memerlukan sokongan emosi susulan insiden berkenaan.

Beliau berkata, bantuan boleh diperoleh menerusi beberapa jabatan dan agensi di bawah kementerian yang menyediakan khidmat kaunseling dengan penglibatan kaunselor bertauliah.

Antara agensi berkenaan ialah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Pembangunan Wanita, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kalau mereka yang terbabit dengan insiden memerlukan kaunseling, kita bersedia untuk bekerjasama memberikan bantuan berkenaan.

“Kita tidak dapat mengenal pasti siapa mereka, jadi kita beritahu lah terutama sekali kepada keluarga mereka, jika memerlukan kaunseling daripada kementerian kita, kita ada beberapa bahagian dan jabatan yang boleh membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC), di sini pada Rabu.

Sebelum ini, lebih 300 pelajar perempuan sekolah menengah di Seremban dilaporkan menjadi mangsa penyebaran gambar bogel yang dihasilkan melalui suntingan menggunakan teknologi AI.

Gambar mengaibkan itu dipercayai bukan sahaja disebarkan dalam kalangan pelajar di sekolah terbabit malah didakwa turut dijual menerusi aplikasi Telegram.

Artikel Berkaitan:

Insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan berikutan penyalahgunaan teknologi AI untuk menghasilkan imej palsu yang boleh menjejaskan maruah, emosi dan kesejahteraan mangsa.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, pihaknya akan meneliti keperluan untuk menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan mangsa penyalahgunaan teknologi AI itu mendapat bantuan sewajarnya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa kementerian belum menjalinkan kerjasama khusus berhubung kes berkenaan setakat ini.

Menurutnya, kesukaran mengenal pasti identiti mangsa berdasarkan gambar yang telah disunting turut menjadi cabaran kepada kementerian untuk menyalurkan bantuan secara langsung.

Sehubungan itu, Nancy menggalakkan keluarga mangsa yang memerlukan sokongan emosi supaya mendapatkan khidmat kaunseling menerusi saluran yang disediakan kementerian bagi membantu mereka menghadapi kesan daripada kejadian tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!