28 finalis bersaing dalam sembilan kategori Anugerah TXA 2026

SEBANYAK 28 finalis dipilih daripada lebih 5,000 pemain industri pengangkutan bagi merebut pengiktirafan dalam sembilan kategori pada edisi sulung Anugerah Transport Expo Asia (TXA) 2026 yang akan berlangsung pada 22 Oktober.
Anugerah itu akan disampaikan pada majlis makan malam gala di Hyatt Regency Kuala Lumpur at Midtown sekali gus menjadi kemuncak kepada penganjuran Transport Expo Asia yang berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Program pengiktirafan itu menghimpunkan pemain industri merangkumi sektor logistik, pelabuhan, perkapalan, pengangkutan darat, keselamatan jalan raya, kejuruteraan, kemampanan dan inovasi, selain kepimpinan dalam pembangunan ekosistem pengangkutan negara.
Transport Expo Asia dianjurkan oleh Alpine Integrated Solution dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia sebagai hos. Edisi 2026 disertai 410 syarikat dari 23 negara.
Antara syarikat yang tersenarai sebagai finalis ialah Swift Haulage Berhad, Westports Holdings, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), MTT Shipping and Logistics Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Malaysia Aviation Group (MAG) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
Dalam kategori Pengendali Logistik Terbaik, Swift Haulage bersaing dengan Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd dan Syarikat Continent Lorry Transport Sdn Bhd (SCLT).
Swift merupakan pengendali pengangkutan kontena terbesar di Malaysia berdasarkan saiz armada, dengan lebih 1,600 prime mover, kemudahan pergudangan seluas 1.8 juta kaki persegi dan kira-kira 4,000 kakitangan di Malaysia, Singapura serta Thailand.
Kumpulan itu turut mengembangkan perkhidmatan rantaian sejuk dengan kapasiti 10,000 ruang palet di Shah Alam pada 2026, selain menggunakan prime mover elektrik sejak 2023 sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kesan operasi pengangkutan terhadap alam sekitar.
Bagi kategori Pengendali Pelabuhan Terbaik, tiga finalis ialah EPIC Berhad, PTP dan Westports Holdings.
Westports mencatatkan rekod pengendalian sebanyak 11.3 juta unit bersamaan kontena 20 kaki (TEU) pada 2025, manakala PTP merupakan pelabuhan pemindahan kontena atau transshipment paling sibuk di Malaysia dan dipilih sebagai hab Asia bagi Gemini Cooperation.
Dalam kategori Pengendali Perkapalan Terbaik, Jaya Coastal Shipping Sdn Bhd, MTT Shipping and Logistics Berhad dan Orkim Berhad dipilih sebagai finalis.
MTT mengendalikan 46 peratus daripada jumlah kontena antara Semenanjung Malaysia, Malaysia Timur dan Brunei pada 2025, manakala Orkim mencatatkan kadar penggunaan armada sebanyak 92 peratus bagi operasi pengangkutan produk tenaga.
Sementara itu, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan Handal Indah Sdn Bhd, yang beroperasi di bawah jenama Causeway Link, bersaing dalam kategori Pengendali Pengangkutan Darat Terbaik.
ERL, pengendali KLIA Ekspres dan KLIA Transit, merekodkan ketepatan masa dan kebolehpercayaan perkhidmatan sebanyak 99.7 peratus dengan 216 perjalanan tren berjadual setiap hari.
Dalam kategori Kecemerlangan dalam Penyelesaian Keselamatan Jalan Raya, finalis terdiri daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TCSens Sdn Bhd dan Vertex Mission Sdn Bhd.
PERKESO diketengahkan menerusi inisiatif Ops Cegah yang melibatkan majikan dalam usaha menangani risiko perjalanan pekerja pergi dan pulang dari tempat kerja.
Bagi kategori Kecemerlangan Kejuruteraan dalam Pengangkutan, lima finalis ialah GreenFinder Sdn Bhd, Jaya Coastal Shipping Sdn Bhd, MRL, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan RC Asia Engineering Sdn Bhd.
MRL menyelia pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer, manakala MRT Corp terlibat dalam pembangunan projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link).
RC Asia Engineering pula disenarai pendek susulan kerja pembinaan landasan di kawasan terminal kontena Pelabuhan Darat Perlis.
Dalam kategori Inisiatif Pengangkutan Mampan Tahun Ini, AeroDarat Services Sdn Bhd, MRL, Railway Assets Corporation (RAC) dan SMH Rail dipilih sebagai finalis.
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk penggunaan jentera penundaan elektrik dan biodiesel dalam operasi pengendalian darat, pemasangan solar di kemudahan ECRL serta usaha menaik taraf lokomotif bagi memenuhi piawaian pelepasan yang lebih ketat.
Bagi kategori Inovator Pengangkutan Tahun Ini, lima finalis ialah ANSA Digital, GKN Engine Systems Component Repair Sdn Bhd, KTMB, Penang Port Commission (PPC) dan RAC.
Antara inovasi yang diketengahkan termasuk sistem telematik bagi kenderaan komersial, pendigitalan proses penyelenggaraan komponen enjin pesawat, aplikasi KITS Style oleh KTMB serta penggunaan pas pelabuhan digital oleh PPC.
Kategori terakhir, Anugerah Menteri bagi Kepimpinan Pengangkutan Negara, menampilkan tujuh finalis iaitu CRRC Zhuzhou Locomotive Co. Ltd., MAG, MRL, MRT Corp, Mutiara Perlis Sdn Bhd, RAC dan SMH Rail.
Finalis dalam kategori itu merangkumi organisasi yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur rel, penerbangan, kejuruteraan pengangkutan serta kemudahan logistik negara.
Mutiara Perlis, misalnya, mengetengahkan pembangunan Pelabuhan Darat Perlis sebagai hab logistik strategik untuk Malaysia, rantau Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), ASEAN dan pasaran antarabangsa yang lebih luas.
Sementara itu, SMH Rail memainkan peranan dalam pembangunan industri kejuruteraan rel menerusi keupayaan reka bentuk, pembuatan, pemasangan, pengujian, pentauliahan, penyelenggaraan dan pajakan kenderaan rel.
Proses pemilihan finalis dan pemenang diselia panel pengadilan yang terdiri daripada tokoh berpengalaman dalam industri, termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Dr Ismail Haji Bakar; Presiden Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia, Prof ChLT Ts Dr Muhammad Zaly Shah serta wakil daripada sektor pengangkutan, kejuruteraan dan kemampanan.
Anugerah TXA diperkenalkan bagi mengiktiraf organisasi yang menyumbang kepada kemajuan ekosistem pengangkutan Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

