Gabenor naik angin dipaksa lalu jalan rosak

JAKARTA - Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi mencetuskan kontroversi selepas rakaman beliau bertengkar dengan penduduk yang sengaja mengarahkannya melalui jalan rosak di Desa Cintajaya, Ciamis, Indonesia tular di media sosial.
Menurut laporan media tempatan, penduduk bertindak demikian bagi menunjukkan sendiri keadaan jalan yang sudah bertahun-tahun mengalami kerosakan tanpa penyelesaian.
"Sudah bertahun-tahun, Pak, jalan ini rosak," luah seorang penduduk dalam rakaman berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kemarahan Dedi yang ketika itu mendakwa sedang bergegas menghadiri program lain.
"Puan juga perlu beradab dengan saya," katanya ketika menegur seorang wanita yang terlibat.
Dedi menegaskan masalah jalan rosak bukan alasan untuk penduduk sengaja mengubah laluan rombongannya tanpa persetujuan.
Beliau turut menjelaskan bahawa jalan tersebut berada di bawah bidang kuasa kerajaan Kabupaten Ciamis dan bukannya tanggungjawab langsung kerajaan wilayah Jawa Barat.
Kejadian itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, dengan sebahagiannya mempertikaikan reaksi Dedi terhadap penduduk yang hanya mahu menyampaikan aduan.
Bagaimanapun, Dedi kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak menolak kritikan, sebaliknya menegur cara penduduk menyampaikan aduan tersebut.
Menurut kerajaan Jawa Barat, jalan di Desa Cintajaya mengalami kerosakan sejak 2012 dan kerajaan Kabupaten Ciamis kini diminta menyediakan peruntukan untuk kerja pembaikan pada 2027.
Kos pembaikan dianggarkan mencecah 16 bilion rupiah (RM3.6 juta) bagi jalan kabupaten dan jalan desa di kawasan berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

