Raja Charles kirim dua buku kepada Suu Kyi

YANGON – Raja Britain, Raja Charles mengirimkan dua buah buku kepada pemimpin Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi pada Isnin, lapor BBC.
Kenyataan kerajaan tentera Myanmar itu turut disertakan gambar pegawai menyerahkan dua buku berkenaan bersama sepucuk surat bermeterai kepada Suu Kyi.
Suu Kyi, 81, ditahan sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinannya pada 2021 dan dipenjarakan atas pelbagai pertuduhan yang secara meluas dianggap direka-reka.
Dua buku yang diserahkan kepada Suu Kyi dikenal pasti sebagai 'Soil to Table' karya pakar berkebun dari Britain, Bridget Elworthy dan Henrietta Courtauld serta 'Soil: The World at Our Feet' iaitu katalog pameran yang berlangsung di London tahun lalu.
'Soil to Table' digambarkan sebagai sebuah karya yang meraikan kepentingan tanah dan hubungannya dengan makanan yang dimakan manusia.
Suu Kyi yang dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada 1991 atas perjuangan tanpa kekerasan bagi memperjuangkan demokrasi di Myanmar diketahui banyak membaca ketika berada dalam tahanan, khususnya buku berkaitan agama dan alam semula jadi.
Gambar yang disertakan bersama kenyataan pada Isnin menunjukkan Suu Kyi memakai blaus tradisional Myanmar berwarna hijau pucat dan kain berwarna zaitun, sambil duduk bertentangan dengan dua lelaki berbaju putih di sebuah meja.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan keadaan kesihatannya atau perkara lain yang dibincangkan sepanjang pertemuan berkenaan.
Suu Kyi yang pada awalnya dijatuhi hukuman penjara selama 33 tahun selepas rampasan kuasa tentera dipindahkan ke tahanan rumah pada Jun lalu.
Pada Ogos, kerajaan Myanmar menerbitkan gambar beliau bersama wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), sekali gus menjadi hubungan pertama yang disahkan dengan pihak asing sejak beliau menghantar surat kepada anaknya, Kim Aris kira-kira dua setengah tahun lalu.
Kim Aris yang menetap di London dan selama bertahun-tahun berkempen bagi pembebasan ibunya menyambut baik perkembangan itu.
Beliau berkata, berdasarkan gambar berkenaan, Suu Kyi kelihatan berada dalam keadaan kesihatan yang baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
