Pembahagian kerusi uji kesepakatan UMNO-Pas

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan membuktikan bahawa kerjasama atau persefahaman antara kedua-dua gergasi Parti Melayu iaitu UMNO dan Pas adalah jawapan kepada kegusaran umat Melayu-Islam di negara ini.
Keputusan PRN di Johor serta Negeri Sembilan menunjukkan di mana setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundinya Melayu disapu bersih oleh calon-calon dari BN atau PN.
Malah terdapat banyak kerusi yang sebelum ini dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) melalui DAP, PKR dan Amanah kembali dirampas oleh BN atau Perikatan Nasional (PN).
Paling menakutkan PH dalam PRN Negeri Sembilan adalah kekalahan Setiausaha Agung DAP, iaitu Anthony Loke kepada calon muda MCA di kubunya iaitu Chennah. Kekalahan itu membawa petunjuk bahawa orang Cina mulai menolak DAP.
Nyata sekali bahawa untuk menumbangkan PH adalah melalui penyatuan seluruh tenaga Melayu dari semua sudut serta peringkat. Itulah formulanya. Mudah.
Formula menjatuhkan PH serta menumbangkan PMX telah ditemui bersandarkan kemenangan PRN Johor dan Negeri Sembilan. Jadi mengapa pula timbul masalah dalam pembahagian kerusi Parlimen di Semenanjung Tanah Melayu?
Pembahagian kerusi di Johor dan Negeri Sembilan dapat di atasi dengan sempurna. Mengapa dimomokkan soal pembahagian kerusi parlimen? Apa masalahnya?
Rakyat dapat melihat kepimpinan besar Melayu menggesa ke arah penyatuan umat Melayu. Tun Dr. Mahathir yang berusia lebih 100 tahun menyeru kepada penyatuan melalui Payung Besar Melayu.
Baginya, umat Melayu perlu bersatu tanpa memperhitungkan garis politik serta melupakan lambang parti. Maksud beliau yang tersirat, supaya umat Melayu meninggalkan ketaksuban kepada parti sebaliknya berjuang demi kepentingan bangsa Melayu.
Pada masa yang sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut melontarkan gagasan yang hampir sama dengan Tun Dr. Mahathir.
Gagasan murni beliau ialah Rumah Bangsa yang diumumkan semasa ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 pada 16 Januari 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Baginya, Rumah Bangsa adalah sebuah falsafah politik untuk menghimpunkan serta menyatukan umat Melayu. Ianya sebagai wadah penyatuan semula warga UMNO yang sudah tidak bersama di samping menjemput seluruh umat Melayu untuk turut berjuang di dalam UMNO.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengajak umat Melayu-Islam di negara ini menggembelengkan tenaga bagi mengalahkan Pakatan Harapan (PH) pada PRU ke 16 nanti.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hasim Jasin. Jelas kedua-dua tokoh besar Pas itu mahukan kuasa politik negara ini berada di tangan umat Melayu-Islam.
Yang tersirat dari kenyataan mereka bahawa teras kuasa politik negara perlu dalam genggaman orang Melayu-Islam dari parti Melayu.
Kepentingan bersama kepimpinan besar Melayu ini adalah menumbangkan PH. Matlamatnya sudah jelas iaitu teras kuasa wajib di tangan Melayu-Islam dari parti Melayu.
Bila tujuan serta matlamat semakin jelas. Bila musuh bersama telah disepakati. Tentulah kaedah bagi mencapai cita-cita tersebut boleh dilaksanakan. Sepatutnya tiada lagi rintangan yang tidak boleh dikesampingkan. Begitulah sepatutnya.
Momokan tentang pubovaginal kerusi Parlimen di Semenanjung Tanah Melayu sebanyak 155 tidak termasuk Labuan sering ditimbulkan oleh musuh-musuh UMNO-Pas.
Bagi mereka UMNO-Pas akan berantakan bila sampai waktu pembahagian kerusi menjelang PRU ke 16 nanti. Benarkah akan terjadi?
Perkara itu tidak mungkin terjadi. Memang dalam politik tiada yang tidak mungkin. Mengapa?
Kepimpinan besar Melayu mampu mengatasinya bersandarkan kepentingan bersama. Mereka boleh mengambil iktibar dari formula WWII.
Kapitalis Inggeris-Amerika bersatu dengan komunis Russia-China dalam melawan Fasis German-Italy-Jepun. Di Malaya, Force 136 bersama Parti Komunis Malaya (PKM) mengalahkan Jepun.
Mereka melupakan garis politik demi mencapai tujuan. Mengapa tidak orang Melayu? Bersama melupakan ideologi serta sengketa dan membulatkan tekad menjatuhkan PH.
Pembahagian kerusi Parlimen boleh didasarkan kepada kedudukan kerusi tersebut tanpa rigid mengikut negeri dan milik parti mana. Maksudnya pembahagian kerusi berdasarkan peratusan pengundi Melayu di sesuatu kawasan parlimen.
Misalnya, kawasan majoriti Melayu 80% ke atas terdapat 51 kerusi. Kawasan 66 hingga 79.9% terdapat 32 kerusi. Manakala kawasan 60 hingga 65.9% ada 20 kerusi. Kawasan 50 hingga 59.9% ada 15 kerusi. Menjadikan 118 kerusi.
Contoh pembahagian adalah setiap kedudukan peratusan itu dibahagi dua dahulu. Kemudian baru dilihat kedudukan kerusi itu di negeri mana dan bagaimana menyesuaikannya.
Kerusi yang majoriti 80% ke atas terdapat 51. Maka bolehlah dibahagi PN 26 dan BN 25. Kerusi 66-79.9 ada 32, bolehlah dibahagi PN 16 dan BN 16. Kerusi 60-65.9 ada 20, boleh dibahagi PN 10 dan BN 10.
Manakala kerusi 50-59.9 ada 15, bolehlah PN 7 dan BN 8. Dengan cara ini masing-masing akan mendapat sama banyak iaitu 59 kerusi Parlimen.
Selebihnya kerusi di bawah 50% majoriti Melayu terdapat 37. Bolehlah dibahagi dua, PN 19 dan BN 18 kerusi. UMNO dan Pas wajib melempar jauh nafsu jadi 'big brother'.
Pembahagian kerusi parlimen antara UMNO-Pas lebih senang bila pendaftaran PN dibatalkan oleh RoS pada 20 Oktober 2026.
Jadi Pas boleh menumpukan pembahagian kerusi hanya berdasarkan kepentingan Pas tanpa memikirkan keperluan Wawasan Negara. Sekiranya sebahagian besar ahli Parlimen Wawasan Negara kembali kepada UMNO, maka pengorbanan mereka itu memudahkan penyelesaian kes ini. Misalnya MP Hulu Terengganu, Ketereh, Macang, Kangar dan Merbok.
Kaedah rigid mengekalkan status quo di mana kerusi yang dimenangi oleh UMNO atau Pas, terus dikekalkan tanpa boleh dipersoalkan perlu dilonggarkan.
Manakala, kaedah mana-mana parti yang kalah tapi mendapat undi kedua tertinggi, maka kerusi itu menjadi milik parti tersebut juga perlu dirombak.
Bila pembahagian kerusi tidak lagi disandarkan kepada kedua-dua kaedah tersebut, maka lebih mudah mencari titik temu dalam menyelesaikannya.
Bila lebih terbuka dan meletakkan perjuangan serta matlamat sebagai asas perundingan, maka yang tersimpul mudah dileraikan. Setiap benang yang kusut boleh dicari puncanya. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Selain isu pembahagian kerusi, musuh-musuh UMNO-Pas juga cuba meretakkan penyatuan Melayu ini dengan menimbulkan isu bakal Perdana Menteri.
Macam-macam tohmahan bagi menyalakan api permusuhan. Sebenarnya, soal siapa yang akan menjadi Perdana Menteri tidak perlu diputuskan sekarang. Apa yang penting buat UMNO-Pas pada masa ini, pastikan dahulu kekuatan mereka bagi meraih kemenangan.
Kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud kerana berebut ghanimah sebelum menang. Pemimpin UMNO dan Pas wajib mengambil iktibar dari sejarah pahit tersebut.
Sudah menjadi kebiasaan seorang ketua parti atau ketua gabungan parti akan mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat untuk menjadi seorang Perdana Menteri.
Praktik ini seperti menjadi duluan. Kepercayaan dari 222 MP turut menentukan kelayakan seseorang menjadi Perdana Menteri. Daripada perhitungan politik nasional, jelas Presiden UMNO mempunyai peluang yang cerah kerana MP Sabah serta Sarawak lebih dekat kepada UMNO dari Pas.
Begitupun, jangan lupa dengan Perkara 43(2) dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana YDPA melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Sebagai kesimpulan, bahawa UMNO-Pas telah menemui formula untuk mengalahkan PH dan menjatuhkan PMX. Di samping itu, tersedia kaedah kepada UMNO-Pas dalam penyelesaian pembahagian kerusi parlimen. Tepuk dada, tanya kemahuan.
Majoriti umat Melayu-Islam di negara ini sudah tidak sabar menunggu saat kejatuhan PH. Mereka sedang menunggu Teras Kuasa Politik kembali berada di tangan Melayu-Islam dari parti Melayu.
*Dr Kamarazaman Yacob ialah Pengerusi Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman, penganalisis dan penulis buku politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
