'Gunalah lambang apa pun asalkan bukan PH, Bersatu' - Idris Ahmad

SHAH ALAM - Pas bersedia menggunakan apa sahaja lambang parti gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, asalkan bukan Pakatan Harapan (PH) mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dengan nada bersahaja berkata, perkara itu tidak menjadi isu utama bagi parti.
“Lambang apa Perikatan Nasional (PN) hendak guna di PRN Melaka?
"Gunalah lambang apa pun, asalkan bukan lambang PH dan Bersatu sahaja,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.
Terdahulu, notis yang dikeluarkan pada 22 September itu memberi peluang kepada PN untuk mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dinyatakan dalam notis berkenaan.
RoS menegaskan, setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.
PN ditubuhkan pada Februari 2020 susulan pergolakan politik negara yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH selepas Langkah Sheraton.
Gabungan itu didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020 dengan Bersatu, Pas dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebagai parti pengasas.
Kedudukan PN diuji selepas Bersatu membuat aduan bertulis kepada RoS pada 11 Ogos lalu berhubung dakwaan tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN 16 Julai berkaitan pembahagian kerusi PRN Negeri Sembilan.
Bersatu mendakwa tindakan mengecualikan parti itu telah melanggar Fasal 7.1 Perlembagaan PN serta mempertikai kewujudan 'kuasa veto' yang mempengaruhi keputusan Majlis Tertinggi.
Berikutan aduan tersebut, RoS menggantung sementara gabungan itu selepas notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bertarikh 22 September 2026 dikeluarkan.
RoS memberikan tempoh yang munasabah kepada PN untuk menjawab notis berkenaan.
Sementara itu dalam respons berasingan, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary mendakwa RoS terburu-buru dalam membuatkan keputusan itu.
Sedangkan menurut beliau, mahkmah telah menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh pendengaran permohonan PN menangguhkan tindakan RoS.
"Tapi hari ini (20 Oktober), RoS terus batalkan pendaftaran PN.
"Tinggal dua hari saja lagi, tak boleh tunggu dulu ke? Apa yang kalut sangat ini?" ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
