K-Youth buka peluang kerjaya untuk anak muda Malaysia

SELAMA lebih dua dekad, pembangunan negara bukan sekadar diukur melalui pertumbuhan ekonomi atau pulangan pelaburan, tetapi juga sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat.
Dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar, pelaburan terhadap pembangunan modal insan menjadi antara pemacu utama untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kemahiran, akses kepada pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih sejahtera.
Berlandaskan aspirasi tersebut, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) terus memainkan peranan sebagai dana kekayaan berdaulat negara yang bukan sahaja menjana nilai ekonomi, malah membina keupayaan rakyat Malaysia secara menyeluruh.
Menerusi pelbagai inisiatif seperti K-Youth serta program yang dilaksanakan Yayasan Khazanah dan Yayasan Hasanah, Khazanah membuka lebih banyak peluang kepada anak muda, pelajar serta komuniti untuk meningkatkan kemahiran, melanjutkan pendidikan, memperoleh pekerjaan berkualiti dan memperkukuh taraf hidup mereka.
Komitmen berterusan ini selari dengan konsep Menaikkan Lantai (Raising the Floor) di bawah Ekonomi MADANI, yang menekankan perluasan akses rakyat kepada peluang ekonomi, pembangunan kemahiran, pekerjaan berkualiti dan pendapatan yang lebih baik.
Hasilnya bukan sekadar melahirkan individu yang lebih berdaya saing, malah membina komuniti yang lebih berdaya tahan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara mampan.
Inilah legasi yang telah dibina Khazanah sejak lebih 20 tahun lalu, melabur bukan sahaja untuk pertumbuhan negara, tetapi juga untuk masa depan rakyat Malaysia.
Pelaksanaan yang tersusun dan penuhi keperluan industri
Bagi kebanyakan ibu bapa, kebimbangan terbesar selepas anak menamatkan pengajian ialah sama ada mereka mampu memperoleh pekerjaan yang sesuai.
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, peluang pekerjaan bukan sekadar memberi pendapatan, malah menjadi asas kepada kehidupan yang lebih stabil.
Justeru, usaha membimbing anak muda kepada pekerjaan berkualiti perlu dilaksanakan secara tersusun melalui latihan yang benarbenar memenuhi keperluan industri.
Pendekatan tersebut diterjemahkan menerusi Program K-Youth yang menawarkan laluan jelas kepada belia untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Youth menawarkan tiga laluan berbeza bagi memenuhi keperluan pembangunan yang berbeza.
Accelerate membantu graduan menganggur memasuki alam pekerjaan melalui latihan berasaskan industri.
Nurture pula menyediakan pelajar universiti lebih awal melalui pendedahan industri, pembangunan kemahiran dan persediaan kerjaya.
Optimise memperkukuh keupayaan institusi pendidikan supaya lebih selari dengan keperluan industri.
Program ini menyediakan latihan tanpa sebarang yuran, elaun sepanjang tempoh latihan serta penempatan bersama majikan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, digital, penyelenggaraan dan penerbangan. Latihan yang disediakan dirangka mengikut kehendak industri supaya peserta memiliki kemahiran yang benar-benar diperlukan oleh majikan.
Sejak diperkenalkan pada 2023, lebih 35,000 belia telah menyertai program K-Youth menerusi laluan Accelerate dan Nurture.
Daripada jumlah itu, 87 peratus merupakan Bumiputera manakala 76 peratus datang daripada keluarga B40.
Pada tahun 2025, sebanyak 85 peratus peserta laluan Accelerate berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh tiga bulan selepas menamatkan latihan, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan yang menghubungkan latihan dengan peluang pekerjaan sebenar.
Lebih penting, manfaat program ini tidak terhenti kepada pekerjaan pertama.
Tinjauan penambahbaikan program bagi tempoh 2023 hingga 2025 menunjukkan 81 peratus peserta masih kekal bekerja pada tahun 2026.
Ramai yang memulakan kerjaya dengan gaji sekitar RM1,700 hingga RM2,300 sebulan sebelum meningkatkan pendapatan kepada sekitar RM3,000 hingga RM4,000, sekali gus memberi impak positif kepada taraf hidup mereka dan keluarga.
Usaha memperkukuh kebolehpasaran belia ini juga selari dengan aspirasi kerajaan menerusi inisiatif Bakat MADANI yang menyasarkan lebih ramai anak muda memperoleh kemahiran dan pekerjaan berkualiti.
Ketua Pengurusan Modal Insan Strategik, Khazanah Nasional Berhad, Shahrizal Mohd Suan berkata, Khazanah kekal komited untuk memperkukuh keupayaan dan membangunkan bakat tempatan sebagai pelaburan strategik jangka panjangdemi masa depan Malaysia.
“Kami percaya bahawa keupayaan negara untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang merupakan antara kelebihan utama yang paling mampan bagi Malaysia.
“Pembangunan bakat bukan sekadar membuka peluang pekerjaan, tetapi membina keupayaan negara untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, meningkatkan produktiviti serta memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berterusan,” katanya.
Shahrizal berkata, inisiatif seperti K-Youth, Khazanah berusaha menterjemahkan komitmen ini dengan merapatkan jurang antara pendidikan dan keperluan sebenar industri, sekali gus menyediakan laluan yang lebih jelas daripada latihan kepada pekerjaan berkualiti.
“Aspirasi kami bukan sekadar melengkapkan anak muda dengan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan hari ini, tetapi membina asas yang membolehkan mereka terus berkembang, menyesuaikan diri dan menyumbang kepada keperluan ekonomi masa hadapan.
“Kami percaya bahawa apabila kita melabur dalam potensi generasi muda, kita sebenarnya sedang membina kekuatan dan daya saing Malaysia untuk jangka panjang,” tambah beliau.
Anak tukang kayu bina kerjaya menerusi K-Youth
Berbekalkan tekad untuk mengubah nasib keluarga, seorang anak tukang kayu dari Gelang Patah membuktikan latar belakang bukan penghalang untuk berjaya apabila beliau kini berkhidmat sebagai Pegawai Pengurusan Program (Digital dan Inovasi) di Kerajaan Negeri Johor selepas menyertai Program K-Youth Khazanah.
Marzelan Herman, anak bongsu daripada empat beradik, membesar dalam keluarga B40 dengan bapanya bekerja sebagai tukang kayu manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
Kecekalan mengejar ilmu menjadikan beliau individu pertama dalam keluarganya yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.
Berkongsi perjalanan hidupnya, Marzelan berkata, peluang menyertai Program K-Youth menjadi titik perubahan dalam membina kerjaya apabila program itu bukansahaja meningkatkan kebolehpasaran dirinya, malah membuka ruang untuk memperoleh pengalaman industri yang sukar diperoleh oleh graduan baharu.
Menurutnya, latihan yang disediakan menerusi program berkenaan membantu beliau mengasah kemahiran profesional, memperkukuh keyakinan diri serta memahamikeperluan sebenar dunia pekerjaan.
"Hasil pendedahan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini, saya kini berpeluang berkhidmat sebagai Pegawai Pengurusan Program (Digital dan Inovasi) di Kerajaan Negeri Johor.
"Bagi saya, K-Youth bukan sekadar membantu mendapatkan pekerjaan, tetapi menjadi platform yang mengubah kehidupan dan memberi harapan untuk meningkatkan taraf hidup keluarga," katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu turut membuktikan bahawa anak muda daripada keluarga B40 mampu melakar kejayaan sekiranya diberi akses kepada peluang, latihan dan bimbingan yang bersesuaian.
Marzelan berharap lebih ramai belia memanfaatkan inisiatif seperti K-Youth bagi meningkatkan kemahiran, membina keyakinan diri dan merebut peluang pekerjaan berkualiti demi masa depan yang lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

