[VIDEO] Lapan lelaki didenda RM5,000 mengaku menipu atas talian
KULIM - Lapan lelaki tempatan diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Kulim membayar denda RM5,000 selepas mengaku salah melakukan penipuan atas talian, baru-baru ini.
Majistret Nur Hamizah Mat Shah memerintahkan hukuman berkenaan ke atas kesemua lelaki terbabit setelah pengakuan bersalah direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Kesemua tertuduh Lee Jian, 29; Franky Ooi Zhen Yang, 26; Tan Ka Kien, 35; Lee Wai Yean, 30; Loh Seng Huang, 26; Lee Yi Chyn, 37; Loo Kuan How, 41, dan Chew Joo Hock, 51.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menjalankan aktiviti penipuan atas talian beralamat di Bandar Putra Kulim pada jam 8 malam, 9 Oktober lalu.
Sementara itu, seramai 41 lagi warga India dan Pakistan termasuk tujuh wanita turut didakwa mengikut pertuduhan sama.
Bagaimanapun, warga India dan Pakistan berusia 25 hingga 41 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan menggunakan Bahasa Inggeris.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 120B(1) kanun yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Muhammad Fauzi tidak membenarkan jaminan untuk kesemua tertuduh warga India dan Pakistan.
Kesemua 49 tertuduh termasuk warga tempatan, India dan Pakistan diwakili Peguam Kenny Tan Cheng Yee.
Majistret kemudian menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pertuduhan ke atas kesemua warga asing yang mengaku tidak bersalah.
Sementara itu, dalam mahkamah sama, Lee Jian, Loh Seng Huang dan Chew Joo Hock turut dituduh membenarkan 17 imigran haram tinggal di premis sama.
Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan jaminan RM8,000 bagi setiap seorang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang boleh dihukum bawah Seksyen 55E(2) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis.
Sebutan semula kes ditetapkan 18 Januari 2027.
Sebelum ini, Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang disyaki menyamar sebagai pegawai polis India dalam serbuan di Bandar Putra di sini baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

