Kerajaan warisi sistem kurang telus, jenayah korporat tidak ditangani dengan berkesan - Anwar

Anwar ketika sesi Pertanyaan - Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Anwar ketika sesi Pertanyaan - Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mewarisi satu sistem kurang telus menyebabkan pelbagai jenayah korporat dan manipulasi pasaran yang berlaku sejak sekian lama tidak ditangani dengan berkesan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kelemahan sistem terdahulu menyaksikan tindakan penguatkuasaan jarang diambil terhadap kes-kes besar melibatkan kerugian berbilion ringgit, termasuk transaksi pengambilalihan syarikat dan institusi perbankan utama yang didakwa berlaku atas campur tangan politik lampau.

Anwar mendedahkan siri jenayah ‘mafia korporat’ terbabit sering dikaitkan dengan menteri kewangan ketika itu, yang dikatakan mempunyai pengaruh dan dana dalam skala besar.

"Kita mewarisi satu sistem kurang telus. Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mengikuti perkembangan sejak tahun 80-an, 90-an sampai sekarang tahu bagaimana beberapa syarikat besar umpamanya kes Multi-Purpose Holdings Berhad (MPHB), dipaksa dijual kepada kumpulan yang diketuai oleh (Datuk Seri) Akbar Khan...dan ini semua dikaitkan dengan mantan Menteri Kewangan pada ketika itu yang pengaruh dan dananya besar,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang ingin tahu perkembangan terkini mengenai dakwaan kegiatan mafia korporat yang melibatkan pelanggaran hukum serta bentuk tindakan yang diambil pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut memetik beberapa kes lain yang memberi pengajaran kepada kerajaan bahawa badan penguatkuasaaan seperti Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu telus dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"RHB Bank, satu bank yang dikelolakan dengan jayanya oleh Tan Sri Rashid Hussain, tetapi telah dipaksa melepaskan pegangan dan akhirnya terlepas. Itu pun yang memilikinya adalah orang terkait dengan mantan Menteri Kewangan.

"Phileo Allied Bank, yang pada ketika itu merupakan antara bank yang berkembang pesat dan atas arahan mantan Menteri Kewangan memaksa semua bank disatukan, tetapi dilepaskan kerana kepentingan mantan menteri (berkenaan) dalam Langkah Bahagia Sdn Bhd yang kemudiannya memiliki (pegangan syarikat terbabit),” katanya.

Anwar turut memaklumkan sejak 2023, tindakan penguatkuasaan oleh SC dalam kes-kes berkaitan jenayah korporat meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!