Terima kasih 'abang polis' penuhi hasrat isteri mengidam naik kereta peronda polis

Nurul Asyira seronok dapat menaiki kereta peronda polis - Foto: Huzairi
Nurul Asyira seronok dapat menaiki kereta peronda polis - Foto: Huzairi
A
A
A

SEREMBAN – Setiap kali melihat kereta peronda polis melintas di jalan raya, Nurul Asyira Zakaria pasti akan memandangnya dengan penuh minat. Apa yang bermula sebagai keinginan biasa ketika usia kandungannya memasuki empat bulan akhirnya menjadi satu misi buat suaminya untuk direalisasikan.

Bagi Huzairi Mohd Tozamri, 31, permintaan isterinya yang sedang hamil lapan bulan itu pada awalnya kedengaran agak luar biasa.

Namun, melihat isterinya sering menyebut mengenai kereta peronda polis setiap kali mereka keluar bersama membuatkan beliau berasa seolah-olah mempunyai "hutang" yang perlu dilunaskan sebelum kelahiran cahaya mata mereka.

Menurut Huzairi, dia pada mulanya buntu memikirkan cara untuk memenuhi keinginan isterinya, selain berasa segan untuk berjumpa polis dan menyuarakan permintaan tersebut.

Bagaimanapun, mengenangkan isterinya yang dijangka bersalin dalam masa terdekat, dia akhirnya memberanikan diri mengunjungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 16 Oktober lalu.

“Apabila sampai di pondok pengawal IPD Seremban, saya beritahu anggota yang bertugas mengenai hasrat isteri yang sedang mengandung untuk menaiki kereta peronda polis.

“Alhamdulillah, anggota di situ sangat baik dan membenarkan kami masuk. Kebetulan pula ada anggota yang sedang berada dalam kereta peronda dan sudi membantu merealisasikan keinginan isteri saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, Nurul Asyira, 23, kelihatan begitu teruja apabila diberikan peluang menaiki kereta peronda polis mengelilingi kawasan IPD.

Malah, wanita itu tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video sebagai kenangan manis untuk disimpan.

Artikel Berkaitan:

“Dia seronok sangat. Sampai tak mahu keluar dari kereta polis dan sepanjang masa asyik bercerita mengenai pengalaman itu.

“Saya puas apabila melihat isteri akhirnya dapat naik kereta polis. Rasa macam hutang saya kepada dia dah selesai,” katanya.

Tambah Huzairi, kegembiraan isterinya berterusan sehingga mereka pulang ke rumah.

“Sepanjang perjalanan balik pun dia tak berhenti bercerita. Dia cakap seronok sangat sampai rasa nak menangis sebab terlalu gembira,” ujarnya.

Huzairi dan Nurul Asyira mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.
Huzairi dan Nurul Asyira mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.

Menurut Huzairi, walaupun dia memahami kebanyakan wanita hamil mempunyai pelbagai keinginan atau mengidam sepanjang tempoh kehamilan, dia tidak pernah menyangka isterinya akan mengidam untuk menaiki kereta peronda polis.

Katanya, sebagai suami, dia sentiasa berusaha memenuhi apa sahaja permintaan isterinya termasuk mendapatkan makanan yang diidamkan.

“Sebenarnya ketika kandungan empat bulan lagi dia sudah beritahu teringin sangat nak naik kereta polis.

“Sejak itu, setiap kali nampak kereta peronda, dia akan sebut mengenainya. Saya pula rasa serba salah sebab masih belum dapat tunaikan hasrat dia,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.

Dalam pada itu, Huzairi turut merakamkan penghargaan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sanggup meluangkan masa dan menunjukkan sikap prihatin bagi menggembirakan isterinya.

Menurutnya, layanan mesra yang diberikan anggota polis bukan sahaja berjaya merealisasikan keinginan isterinya, malah menjadi kenangan istimewa yang akan diingati pasangan itu sampai bila-bila.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!