[VIDEO] Pertikaian syarikat Lee Zii Jia, keluarga selesai secara baik

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pertikaian berkaitan pengurusan kewangan syarikat antara pemain badminton negara, Lee Zii Jia dengan bapa, kakak dan adik lelakinya selesai secara baik apabila Mahkamah Tinggi di sini merekodkan penghakiman persetujuan pada Selasa.
Hakim, Leong Wai Hong merekodkan perkara itu selepas semua pihak mencapai persetujuan berhubung kes saman pemula yang difailkan Zii Jia, 28, selaku pemohon terhadap keluarganya pada 2 Julai lalu.
Dalam kes berkenaan, syarikat LZJ Management milik jaguh perseorangan lelaki negara dalam Sukan Olimpik Paris 2024 itu, bapa, Chee Hin, 59, kakak, Zii Yii, 30 dan adik lelakinya Tao, 25 dinamakan sebagai responden-responden.
Selepas peguam membacakan draf persetujuan, Wai Hong meminta Zii Jia, Chee Hin dan Tao supaya tampil ke hadapan mahkamah untuk mengesahkan terma persetujuan berkenaan.
“Walaupun beliau (Zii Jia) terkenal, kita perlu memeriksa MyKadnya dan memastikan sama ada beliau orang yang sama atau tidak,” kata hakim ketika berseloroh.
Hakim: Adakah anda faham dan bersetuju dengan terma persetujuan itu?
Zii Jia: Ya, saya faham dan bersetuju.
Chee Hin dan Tao juga memberitahu perkara sama dan bersetuju dengan terma persetujuan berkenaan.
Sementara itu, peguam, Andrian Ng Chen Yip memberitahu, seorang lagi anak guamnya iaitu kakak Zii Jia tidak hadir ke mahkamah kerana berada di luar negara.
Andrian: Anak guam telah bersetuju dengan terma tersebut.
Pada prosiding terbabit, peguam, Ahmad Zayd Ahmad Zuber hadir mewakili Zii Jia sementara peguam, Samantha Cheng bagi pihak LZJ Management dan Andrian untuk bapa, kakak dan adik Zii Jia.
Semasa prosiding, Ahmad Zayd berkata, pihak-pihak telah mencapai penyelesaian dan memohon mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan terma-terma dipersetujui.
Beliau kemudian membacakan draf persetujuan iaitu, pihak-pihak bersetuju bahawa suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) LZJ Management selaku responden pertama akan diadakan pada 31 Oktober ini.
Katanya, ia selaras dengan Notis Mesyuarat Agung Luar Biasa bertarikh 16 Oktober dan kos EGM akan ditanggung oleh responden pertama.
“Sementara menunggu pelupusan EGM, responden kedua dan ketiga iaitu Chee Hin dan Zii Yii, sama ada secara sendiri, melalui ejen atau mana-mana pihak, dihalang daripada meluluskan, membayar atau mengeluarkan pembayaran fi pengarah.
“Ia termasuk elaun, bonus, ganjaran atau manfaat kewangan kepada diri mereka sendiri daripada responden pertama.
“Pengecualian diberikan kepada gaji bulanan yang dikira bermula 1 September,” katanya.
Ahmad Zayd berkata, responden kedua dan ketiga itu juga dihalang daripada meluluskan, menandatangani, mengesahkan sebarang resolusi lembaga pengarah atau resolusi syarikat.
Katanya, perkara itu berkaitan pelantikan atau penyingkiran pengarah atau setiausaha syarikat, pelupusan aset material, penerbitan saham baharu, perubahan struktur pemegangan saham.
Beliau berkata, ia termasuk sebarang keputusan yang memberi kesan terhadap pengurusan, pentadbiran atau kawalan responden pertama, tanpa kebenaran daripada mahkamah selain tiada perintah terhadap kos.
Berdasarkan saman pemula, Zii Jia yang merupakan pemegang saham majoriti LZJ Management berkata, telah mengambil langkah untuk mengadakan EGM bagi membincangkan hal ehwal pengurusan dan tadbir urus syarikat, namun usaha itu tidak berhasil.
Pemain yang mencatat kedudukan tertinggi dalam ranking dunia BWF pada 25 Oktober 2022, iaitu kedua dunia di belakang bintang Denmark, Viktor Axelsen itu mempunyai pegangan saham sebanyak 90 peratus syarikat tersebut.
Zii Yii pula memegang pegangan sebanyak sembilan peratus saham sementara Tao satu peratus.
Zii Jia selaku pemohon kemudian memohon supaya EGM diadakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah mahkamah dan mesyuarat itu diteruskan walaupun mana-mana ahli syarikat, pengarah atau setiausaha syarikat tidak hadir atau enggan hadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

