Mafia korporat: 'Bila terkeluar jadi pembangkang, baru nak luah padahal dia duduk sini dahulu' - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas seorang bekas menteri berhubung isu jenayah korporat dengan mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dibangkitkan ketika beliau masih memegang jawatan dalam kerajaan.

Beliau berkata, tindakan membetulkan sebarang salah laku perlu dilakukan ketika seseorang masih mempunyai kuasa, bukannya hanya bersuara selepas tidak lagi memegang jawatan.

“Kadang-kadang orang itu masa dia menteri tak pernah bercakap. Sebab itu saya selalu mengingatkan sahabat-sahabat saya di Jemaah Menteri, nak guna kuasa dengan baik, nak betulkan, betulkan masa ada kuasa.

“Esok bila dah pencen atau terkeluar (daripada Jemaah Menteri) atau jadi pembangkang baru nak meluahkan padahal dia duduk sini dahulu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai dakwaan seorang menteri menerima RM9.5 juta sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah dalam isu mafia korporat seperti yang disiarkan dalam program audio siar dikendalikan Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan.

Menjawab dakwaan berkenaan, Anwar menyifatkan kenyataan mengenai bayaran RM9.5 juta itu merupakan satu dakwaan politik.

Beliau berkata, menteri yang dimaksudkan telah mencabar dakwaan berkenaan dan membawa perkara itu ke mahkamah, justeru orang ramai tidak seharusnya menjatuhkan hukuman sebelum proses undang-undang selesai.

“Nama yang disebut itu, bila ada pertuduhan, siasatan diteruskan...tidak terkecuali. Tetapi saya tidak (mahu) menghukum (awal) seperti mana dalam jawapan saya yang panjang semasa siasatan diteruskan.

“Jadi biar ada pendakwaan dan siasatan. Yang dibangkitkan tentang menteri (terima) RM9.5 juta itu kenyataan politik, tidak disandarkan apa-apa keterangan. Menteri berkenaan telah pun mencabar dan menjawab serta bawanya ke mahkamah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan bahawa siasatan perlu diteruskan sekiranya terdapat asas dan bukti, tanpa mengira kedudukan atau parti politik individu yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku.

Sementara itu, Anwar menegaskan, istilah 'sakau' tidak seharusnya dikaitkan dengan mana-mana parti politik semata-mata kerana salah laku boleh berlaku tanpa mengira latar belakang politik seseorang.

Kata Ahli Parlimen Tambun itu, beliau tidak pernah menghalang tindakan terhadap individu yang berdepan pertuduhan termasuk mereka yang mempunyai kaitan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kanannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!