Tiga banduan didakwa bunuh, cedera rakan di Penjara Marang

MARANG - Seorang banduan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dakwaan membunuh seorang banduan lain dalam kejadian di Penjara Marang pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Che Mohd Nazzaruddin Che Ros, 35, selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Athirah Hashim.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menyebabkan kematian terhadap Nor Mohd Helmi Sahari di Zon 2, R10, Penjara Marang, antara jam 8.45 pagi hingga 9.15 pagi pada 24 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab Latif, manakala kes dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan memandangkan pertuduhan berkenaan tidak membenarkan jaminan.

Dalam prosiding sama, dua lagi individu iaitu Mohd Fadli Che Mansor, 36, dan Nor Dhitauddin Afiq Norwadi, 22, turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan bersubahat atau bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Kedua-dua tertuduh berkenaan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Fadli dan Nor Dhitauddin masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Dua tertuduh bagi kes tersebut diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Shameer Haziq Shaharuddin.
Mahkamah menetapkan 5 November depan bagi sebutan semula kes untuk Mohd Fadli dan Nor Dhitauddin, manakala 10 Disember bagi kes pembunuhan berkenaan bagi menunggu laporan kimia serta laporan bedah siasat lengkap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

