'Bina rumah praktikal didiami sepanjang hayat'

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Dari kiri; Raja Danish Iskandar, Nur Atiqah dan Fara Wahidah
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Dari kiri; Raja Danish Iskandar, Nur Atiqah dan Fara Wahidah
A
A
A

SHAH ALAM – Golongan muda berharap pemaju menyediakan kediaman yang selamat, mudah diakses dan praktikal untuk didiami sepanjang hayat supaya mereka tidak perlu berpindah atau melakukan pengubahsuaian besar apabila usia meningkat.

Seorang guru tadika, Nur Atiqah Abdul Wahab berkata, pemaju perlu menyediakan rumah yang sesuai untuk didiami setiap peringkat kehidupan, bukan hanya ketika penghuni masih muda.

"Antara ciri kediaman yang saya diharapkan ialah rumah satu tingkat tanpa tangga, laluan luas dan bilik air yang selamat.

“Rumah sepatutnya bukan sahaja selesa untuk didiami ketika muda, tetapi juga praktikal apabila penghuni semakin berusia atau mempunyai masalah pergerakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Muka depan akhbar ini pada Isnin melaporkan tangga, bilik air licin, ruang sempit dan bilik tidur di tingkat atas boleh menjadikan rumah sendiri satu perangkap apabila usia meningkat, termasuk meningkatkan risiko jatuh atau menyebabkan penghuni terperangkap di satu aras.

Disebabkan itu, ada pemilik terpaksa mengeluarkan sehingga RM50,000 daripada simpanan persaraan untuk menyesuaikan kediaman di mana pakar seni bina UKM, Dr Mazlan Mohd Tahir mengingatkan kelemahan reka bentuk rumah akhirnya boleh bertukar menjadi masalah kecukupan simpanan persaraan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, isu itu kini diberi perhatian menerusi Dasar Perumahan Negara 2026-2035 yang menekankan rumah baharu lebih mudah diakses selain penambahbaikan kediaman sedia ada.

Nur Atiqah, 36, juga memberitahu, dia mengimpikan kediaman sendiri yang mempunyai ruang luas, pengudaraan baik serta bilik tidur dan bilik air yang mudah diakses, selain reka bentuk mesra kanak-kanak dan warga emas.

Katanya, kemudahan itu membolehkannya terus tinggal di rumah sendiri sehingga usia tua tanpa perlu berpindah hanya disebabkan faktor usia atau kesukaran bergerak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fara Wahidah Norismarshah, 24, yang bekerja dalam bidang percukaian dan menetap di TTDI Jaya, Shah Alam berkata, rumah yang selesa penting supaya penghuni dapat menjalani kehidupan dengan tenang tanpa perlu menyusahkan orang lain apabila semakin berusia.

“Bagi saya, pemaju bukan sekadar perlu bina tempat tinggal, tapi kena bina tempat kita berteduh sampai tua kelak. Untuk zaman sekarang ini, banyak rumah dibina untuk jual, bukan untuk didiami sepanjang hayat.

“Harapan saya untuk kediaman sendiri adalah saya boleh hidup tenang di rumah sendiri dan tanpa menyusahkan orang lain. Itulah makna selesa bagi saya bila semakin berusia nanti,” ujarnya.

Senada dengan pandangan itu, koordinator jualan, Raja Danish Iskandar Raja Daud, 26, memberitahu, disebabkan rumah merupakan aset untuk jangka masa panjang, kawasan kediaman juga perlu mesra penduduk.

"Selain daripada kemudahan awam yang mampu memberikan kesenangan terhadap penduduk, komuniti yang bagus pun boleh jadi faktor keharmonian hidup juga kalau nak tinggal lama di sesebuah kawasan.

"Bagi saya hidup ini tak perlu mewah, cukup dengan keadaan rumah yang mesra pelbagai peringkat umur serta mempunyai kemudahan yang lengkap dan selesa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!