Lebih 53 maut, 200 cedera dalam serangan Houthi di selatan Yemen

Serangan itu menyasarkan sebuah pusat latihan keselamatan di Wilayah Shabwa, selatan Yemen. Foto Anadolu Ajansi
Serangan itu menyasarkan sebuah pusat latihan keselamatan di Wilayah Shabwa, selatan Yemen. Foto Anadolu Ajansi
A
A
A

ISTANBUL - Lebih 53 orang terbunuh manakala lebih 200 lagi cedera pada Isnin dalam serangan Houthi yang menyasarkan sebuah pusat latihan keselamatan di Wilayah Shabwa, selatan Yemen, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi platform media sosial Facebook, kerajaan Wilayah Shabwa memaklumkan bahawa serangan itu menyasarkan kemudahan berkenaan ketika anggota baharu pasukan keselamatan dalaman sedang menjalani latihan.

"Skala tragedi ini tidak memadai ditangani dengan kecaman semata-mata, sebaliknya memerlukan langkah ketenteraan dan keselamatan segera bagi menghalang serangan seumpama ini daripada berulang," tegas pihak berkuasa tempatan itu.

Pihak berkuasa turut menggesa kerajaan Yemen dan gabungan pimpinan Arab Saudi supaya memperkukuh keupayaan pertahanan wilayah berkenaan.

Kumpulan Houthi tidak memberikan sebarang komen segera berhubung kenyataan itu.

Serangan berlaku ketika permusuhan antara Kumpulan Houthi dengan pasukan yang berpihak kepada kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan disokong gabungan pimpinan Arab Saudi semakin memuncak.

Yemen terus dilanda konflik sejak 2014, apabila Kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa dan sebahagian besar kawasan utara negara itu. - Bernama-Anadolu

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!