Pekerja kedai emas direman bantu siasatan kes pecah amanah RM250,000

KEMAMAN - Seorang pekerja sebuah kedai emas direman tiga hari bermula Isnin bagi membantu siasatan kes pecah amanah membabitkan kerugian syarikat perniagaan emas berjumlah RM250,000 sejak Februari lepas.
Perintah reman terhadap wanita berumur 23 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Marsha Abdul Malik di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, suspek ditahan di sini pada 9.30 malam Ahad selepas pemilik kedai emas berusia 32 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu pada 6.14 petang, 30 September lepas.
"Suspek didakwa melakukan pecah amanah selepas dipercayai mengambil emas dan wang tunai milik syarikat berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian RM250,000 sejak Februari," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
