ECRL sasar 1.4 juta penumpang setahun mulai 2027

GOMBAK - Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyasarkan 1.4 juta penumpang setahun bermula 2027, dengan kadar pengisian tempat duduk diunjurkan 60 peratus daripada keseluruhan 2.2 juta kapasiti tempat duduk yang disediakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan kapasiti tempat duduk yang dirancang untuk perkhidmatan berkenaan sepanjang tahun depan.
Beliau berkata, sebanyak 16 perjalanan sehari akan ditawarkan dari Jumaat hingga Ahad, membabitkan lapan perjalanan bagi setiap arah.
Bagi Isnin hingga Khamis pula, sebanyak 12 perjalanan sehari akan disediakan, dengan enam perjalanan bagi setiap arah.
“Pada peringkat permulaan, sebanyak 10 set tren Electric Multiple Unit (EMU) akan digunakan dengan kelajuan operasi sehingga 160 kilometer sejam bagi menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
“Tren dengan konfigurasi kelas Ekonomi dan Ekonomi Premium mempunyai kapasiti sehingga 425 penumpang, manakala konfigurasi yang turut merangkumi kelas Perniagaan mempunyai kapasiti 409 penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman kadar tambang ECRL di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak (TBG), di sini pada Isnin.
Darwis berkata, penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pada pertengahan November ini bagi perjalanan antara Gombak dengan Kota Bharu.
Menurutnya, operasi komersial penumpang bagi laluan berkenaan disasarkan bermula pada pertengahan Disember ini, tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.
“MRL memberikan keutamaan kepada pengujian sistem, keselamatan, pensijilan dan kesiapsiagaan operasi bagi memastikan perkhidmatan ECRL dapat dimulakan dengan selamat dan teratur.
“Tren ECRL turut berjaya melengkapkan perjalanan tanpa henti dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh kurang tiga jam 30 minit pada kelajuan maksimum 160 kilometer sejam ketika sesi pengujian,” katanya.
Beliau berkata, MRL dijadualkan memulakan ujian Fault-Free Running (FFR) pada 23 Oktober ini, sebelum meneruskan operasi percubaan sepanjang November.
Mengulas perkembangan projek, Darwis berkata, kemajuan keseluruhan pembinaan ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor mencapai 98.16 peratus setakat Oktober ini.
Tambahnya, ujian penerimaan tapak (Site Acceptance Test) dan ujian integrasi sistem (System Integration Test) sudah disempurnakan.
Sementara itu, ujian pemanduan tren yang bermula pada 25 Ogos lalu merekodkan jarak terkumpul melebihi 50,000 kilometer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

