Empat sekeluarga hilang tempat berteduh, kediaman musnah dalam kebakaran

Empat buah kediaman milik empat sekeluarga musnah dalam kebakaran di Kepala Batas pada malam Ahad.
Empat buah kediaman milik empat sekeluarga musnah dalam kebakaran di Kepala Batas pada malam Ahad.
A
A
A

KEPALA BATAS – Empat buah rumah di Kampung Kovil, di sini, musnah sehingga 90 peratus dalam kebakaran pada malam Ahad, mengakibatkan beberapa keluarga kehilangan tempat berteduh.

Kebakaran membabitkan tiga rumah setingkat dan sebuah rumah dua tingkat jenis separa kekal dengan anggaran keluasan setiap rumah 20 x 40 kaki.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.31 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas tiba di lokasi dua minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran menyebabkan dua rumah musnah 90 peratus, manakala sebuah rumah mengalami kemusnahan kira-kira 80 peratus.

"Sebuah lagi rumah mengalami kemusnahan kira-kira 20 peratus.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila semua penghuni berjaya menyelamatkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut John, operasi memadamkan kebakaran diketuai seorang komander dengan bantuan anggota dari BBP Bertam dan BBP Butterworth.

"Seramai 22 anggota terlibat dalam operasi berkenaan dengan sokongan beberapa jentera bomba termasuk unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan lori tangki air," ujarnya.

Tambah beliau, operasi turut dibantu pasukan bomba sukarela Kepala Batas, Kampung Selamat, Sungai Puyu, Bagan Ajam dan Chain Ferry.

Artikel Berkaitan:

"Operasi turut melibatkan pihak polis serta Tenaga Nasional Berhad.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.55 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.25 tengah malam," katanya.

John berkata, operasi ditamatkan pada jam 1.21 pagi sebelum kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya lagi, Pusat Sehenti Pasca Insiden turut memberikan khidmat nasihat serta mendapatkan maklumat pemilik rumah bagi membantu dan memudah cara keperluan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!