Iran gesa AS terima usul buka semula Selat Hormuz

Iran menggesa Amerika Syarikat (AS) menerima cadangan pelan tujuh hari bagi membuka semula Selat Hormuz. Foto: media sosial
Iran menggesa Amerika Syarikat (AS) menerima cadangan pelan tujuh hari bagi membuka semula Selat Hormuz. Foto: media sosial
A
A
A

TEHERAN - Iran menggesa Amerika Syarikat (AS) menerima cadangan pelan tujuh hari bagi membuka semula Selat Hormuz, lapor Xinhua.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, pelan berkenaan masih terbuka untuk dipertimbangkan, ketika kedua-dua negara meneliti kemungkinan meneruskan usaha diplomatik bagi menamatkan konflik.

Katanya, syarat Iran untuk menghentikan permusuhan dan membuka semula laluan perkapalan strategik itu telah dikemukakan kepada AS, manakala maklum balas Washington kini sedang diteliti Tehran.

"Sekiranya pihak Amerika benar-benar mempunyai keikhlasan yang sebenarnya tiada, maka laluan untuk membuka Selat Hormuz sudah jelas,” katanya dalam temu bual bersama agensi berita rasmi Iran, IRNA, di luar Sidang Ke-52 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Baghdad, Iraq pada Ahad.

Menurut Araghchi, sekiranya Washington menerima syarat Tehran, Selat Hormuz akan dibuka semula dalam tempoh enam hari, manakala rundingan antara kedua-dua pihak akan disambung pada hari berikutnya.

Tambahnya, syarat yang dikemukakan Tehran bukanlah sesuatu yang luar biasa atau tidak munasabah, sebaliknya merangkumi komitmen yang menurutnya telah dipersetujui AS menerusi memorandum persefahaman (MoU) damai dan rundingan terdahulu.

Beliau turut menegaskan bahawa Iran tidak akan tunduk kepada ancaman dan akan terus mempertahankan diri, namun pada masa sama kekal bersedia meneruskan usaha diplomatik.

Pada 28 Februari, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Tehran serta beberapa bandar lain di Iran, mendorong Tehran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan dan aset AS di rantau berkenaan.

Iran turut memperketat kawalannya terhadap Selat Hormuz, laluan strategik bagi perdagangan tenaga global.

Artikel Berkaitan:

Gencatan senjata antara pihak-pihak yang berperang dicapai pada 8 April, sebelum Iran dan AS menandatangani MoU pada 18 Jun bagi menamatkan perang di rantau itu merentasi semua medan konflik.

Di bawah MoU berkenaan, kedua-dua negara dijadualkan mengadakan rundingan dalam tempoh 60 hari sehingga 17 Ogos bagi mencapai perjanjian muktamad berhubung program nuklear Iran dan penghapusan sekatan.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak gagal mencapai kemajuan mencukupi untuk memuktamadkan perjanjian berkenaan.

END

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!