Jerebu tak halang riadah

SHAH ALAM - Jerebu tidak menghalang orang ramai beriadah di Taman Tasik Shah Alam yang kekal meriah dengan aktiviti berjoging, berkelah, berkayak dan berbasikal.
Tinjauan Sinar Harian dari jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi Ahad mendapati, orang ramai tetap beriadah di taman berkenaan meskipun kualiti udara kurang baik.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan Shah Alam antara 24 kawasan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 160 setakat jam 9 pagi Ahad.
Meskipun bacaan itu menurun berbanding IPU 172 pada Sabtu, pemandangan di sekitar Taman Tasik Shah Alam masih kelihatan kelabu.
Eksekutif pemasaran, Nur Safika Nizam, 29, berkata, dia tetap meneruskan aktiviti berjoging di taman itu walaupun menyedari keadaan udara ketika ini berada pada tahap tidak sihat.
Menurutnya, aktiviti riadah pada waktu pagi masih boleh dilakukan selagi tidak menjejaskan kesihatan fizikalnya.
“Memang tahu sekarang musim jerebu, tetapi saya rasa keadaan belum terlalu teruk.
“Saya datang pun bukan setiap hari, dua kali seminggu sekadar nak kekalkan rutin bersenam supaya badan sentiasa cergas.
“Setakat ini, alhamdulillah kesihatan masih baik cuma kalau nampak udara semakin tak bersih dan pemandangan jalan raya tak jelas, saya terus balik ke rumah,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Zamrizan Talib, 35, jerebu sememangnya menjejaskan kesihatan, lebih-lebih lagi apabila dia sendiri mengalami gejala batuk dan selesema sepanjang minggu lalu.
“Lama juga saya batuk-batuk disebabkan jerebu. Hari ini saya bawa anak-anak dan isteri berkelah tepi tasik disebabkan dah berjanji tapi semuanya kena pakai pelitup muka.
“Saya tak nafikan yang partikel halus jerebu jika masuk ke dalam sistem pernafasan memang bahaya, terutama bila kita terlalu lama berada di luar bangunan.
“Orang ramai selepas ini perlu lebih peka terhadap keadaan kualiti udara di kawasan masing-masing dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga,” ujarnya.
Sementara itu, pekerja kilang, Aminah Md Hashim memaklumkan dia bersama keluarganya memilih beriadah di situ kerana mahu menghabiskan masa bersama-sama sambil menikmati suasana pagi.
Menurutnya, jerebu bukan sesuatu yang asing baginya, malah keadaan itu sering berlaku pada waktu tertentu sehinggakan sesetengah orang menganggapnya sebagai perkara biasa.
“Pada mulanya memang rasa biasa sahaja sebab kita selalu berhadapan dengan musim jerebu sebelum ini. Lagipun pagi-pagi suasana di sini nyaman dan ramai orang datang bersenam.
“Tetapi apabila fikir semula, kita tidak boleh terlalu selesa kerana udara yang nampak biasa pun belum tentu selamat untuk dihidu.
“Kita mungkin tidak terus rasa sakit, tetapi bukan bermakna tiada risiko kepada kesihatan. Jadi, saya fikir kita semua perlu ambil tanggungjawab jaga kesihatan diri dan keluarga dengan sekurang-kurangnya memakai pelitup muka walaupun memang tak selesa,” jelas Aminah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
