Keadilan dijual, prinsip ditinggalkan

Selama puluhan tahun, Metallica membina reputasi sebagai kumpulan heavy metal yang berani menyelongkar sisi gelap manusia, membongkar penyalahgunaan kuasa dan mempersoalkan sistem yang menindas. Foto hiasan janaan AI
Selama puluhan tahun, Metallica membina reputasi sebagai kumpulan heavy metal yang berani menyelongkar sisi gelap manusia, membongkar penyalahgunaan kuasa dan mempersoalkan sistem yang menindas. Foto hiasan janaan AI
A
A
A

KONSERT Metallica Live in Malaysia 2013 di Stadium Merdeka jadi detik bersejarah yang masih segar dalam ingatan peminat muzik rock dan heavy metal tanah air. Saya sendiri tidak melepaskan peluang. Impian terbesar untuk menyaksikan persembahan salah satu band Big 4 di depan mata akhirnya tercapai.

Bila Metallica memainkan lagu Whom The Bell Tolls, Enter Sandman, Unforgiven, Seek & Destroy dan sebagainya, otak terus off tak fikir yang lain. Hanya ada riff gitar Kirk Hammet, roll drum Lars Ulrich, bass padu Rob Trujillo dan vokal bertenaga James Hetfield. Headbang sampai sakit tengkuk.

Selama puluhan tahun, Metallica membina reputasi sebagai kumpulan heavy metal yang berani menyelongkar sisi gelap manusia, membongkar penyalahgunaan kuasa dan mempersoalkan sistem yang menindas.

Muzik mereka bukan sekadar dentuman gitar yang menggegarkan pentas, tetapi turut membawa mesej tentang kebebasan, manipulasi, peperangan dan keadilan.

Namun, apabila frontman Metallica, Hetfield pada 10 Oktober 2026 menyindir artis yang membawa agenda politik ke pentas dengan menganggapnya sebagai omong kosong, satu persoalan besar muncul: di manakah prinsip yang selama ini dilaungkan dalam lagu-lagu mereka?

Ironinya cukup ketara. Metallica menjadikan ketidakadilan sebagai antara tema penting karya mereka dan kini berdepan persoalan tentang pendirian yang dilihat seolah-olah mahu memisahkan muzik daripada realiti politik dan kemanusiaan.

Album ...And Justice for All misalnya, bukan sekadar himpunan lagu. Tajuknya sendiri membangkitkan persoalan tentang keadilan yang dilaungkan. Lagu One pula kisah tragis seorang askar yang menanggung penderitaan akibat perang, manakala Master of Puppets dan Disposable Heroes mengkritik bagaimana nyawa askar boleh diperlakukan seperti alat dalam peperangan.

Karya-karya ini menjadikan Metallica lebih daripada sebuah kumpulan hiburan. Muzik mereka mengajak pendengar berfikir tentang kuasa, kebebasan dan harga yang terpaksa dibayar apabila manusia kehilangan kawalan terhadap nasib sendiri.

Justeru, apabila artis lain menggunakan pentas untuk menyuarakan isu semasa, mengapa Metallica menganggap ia perbuatan yang mencemarkan muzik? Sad But True!

Artikel Berkaitan:

Bekas anggota Pink Floyd, Roger Waters telah melontarkan kecaman keras terhadap Hetfield yang menyifatkan pendirian tersebut tidak berempati terhadap isu kemanusiaan global.

Peminat turut merasakan Hetfield cuba 'meneutralkan' identiti Metallica demi menjaga hati semua pihak atau bagi mengelakkan kontroversi, sedangkan asas muzik thrash metal itu sendiri lahir daripada pemberontakan sosial.

Ini kerana Metallica menghasilkan lagu-lagu yang mengkritik sistem keadilan, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan. Namun, apabila Hetfield memperlekehkan muzik yang membawa agenda politik, timbul persoalan sama ada beliau sendiri bersifat hipokrit dalam karyanya itu.

"Dahulu bercerita tentang penindasan kuasa, peperangan dan ketidakadilan sosial. Hari ini, konon nak 'having good times' dengan peminat. Pelik, bukan?" kata seorang rakan.

Tidak hairanlah ungkapan Injustice for All berlegar dalam kalangan peminat sebagai sindiran terhadap Metallica. Meskipun pendirian 'bebas politik' Hetfield mencetuskan perbalahan hangat secara digital di media sosial, tiket siri konsert mereka, Life Burns Faster di Las Vegas Sphere, tetap habis terjual.

Ada dua pendapat berbeza daripada peminat muzik. Kelompok pertama percaya konsert adalah ruang esapisme untuk melarikan diri daripada tekanan dunia nyata.

Kelompok kedua menegaskan bahawa artis bertaraf dunia mempunyai tanggungjawab moral untuk menggunakan pengaruh mereka demi menyuarakan isu kemanusiaan dan menentang penindasan.

Adakah pembaca setuju dengan Hetfield bahawa konsert sepatutnya menjadi tempat untuk menikmati muzik tanpa agenda politik? Adakah konsert semata-mata tempat untuk berhibur, atau kumpulan sebesar Metallica sepatutnya mempunyai keberanian untuk bersuara? Jika keadilan hanya penting dalam lagu, tetapi tidak ketika dunia memerlukannya, mungkin benar Metallica band yang hipokrit.

Malah, keadilan tidak penting bagi mereka kerana yang utama adalah album terus terjual dan tiket konsert terus laku.

Nothing Else Matters!

*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto KKB yang gemar ride di hujung minggu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!